Huawei MatePad 12 X Dan Watch D2 Memasuki Pasaran Malaysia Pada 19 November 2024
Amy Maizuraa
Huawei bersedia untuk melancarkan dua produk terbaharu keluarannya iaitu MatePad 12 X dan Watch D2 yang memiliki keunikan berbeza mengikut padanan spesifikasi yang baik. Pelancarannya dijadualkan berlangsung pada 19 November 2024 tetapi tempahan awal untuk MatePad 12 X sudah boleh dibuat dengan meletakkan deposit sebanyak RM100.

Menariknya lagi apabila hadiah bernilai RM2,624 yang termasuk Huawei Smart Magnetic Keyboard, Huawei M-Pencil 3rd Gen, Huawei Bluetooth Mouse, Huawei FreeBuds 5 dan jaminan pelindungan skrin selama setahun turut diberikan untuk setiap pembelian.
Sementara itu, Huawei tidak pula berkongsi lanjut mengenai tempahan awal untuk Watch D2. Pun begitu Huawei menyediakan baucar bernilai RM100 yang boleh ditebus oleh orang ramai untuk pembelian jam tangan itu. Selain itu hadiah bernilai RM1,276 yang termasuk Huawei FreeBuds Pro 2, Huawei Scale 3, Huawei WATCH D2 Strap dan jaminan tambahan selama 2 tahun turut diberikan untuk pembelian kelak.

Huawei MatePad 12 X menggunakan skrin LCD 12-inci dengan resolusi 2800 X 1840 piksel dan kecerahan puncak 1000nits. Tiada butiran mengenai cip pemprosesan digunakan namun pilihan memori terdiri dengan 12GB RAM dan storan dalaman 512GB. Selain itu mempunyai bateri 10,100 mAh, kamera utama 13MP, kamera swafoto 8MP dan enam pembesar suara dengan Huawei Sound.

Huawei Watch D2 pula dilihat lebih nipis berbanding pendahulunya Watch D. Tidak seperti pesaing lain yang bergantung pada sensor optik di sini Huawei menggunakan pam mikro terbina dalam dan tali pergelangan tangan yang mirip mesin tekanan darah tradisional untuk meningkatkan ketepatan. Paling menonjol semestinya fungsi Ambulatory Blood Pressure Monitoring (ABPM) yang membolehkan penjejakan dibuat sepanjang masa.
Selain itu mempunyai sensor pemantauan kesihatan lain seperti ECG, SpO2, degupan jantung dan tahap tekanan. Hayat bateri pula boleh mencapai 6 hari melalui penggunaan biasa. Huawei melengkapinya juga dengan skrin AMOLED 1.82-inci dengan kerangka empat segi. Di samping boleh didapati dalam pilihan tali sejenis fluoroelastomer atau kuit yang pastinya memenuhi keperluan pengguna moden hari ini.