Zerocam Adalah Aplikasi Kamera Android Yang Mengambil Gambar Tanpa Diproses AI
Fahim Zahar
Kesemua telefon pintar di pasaran sekarang menggunakan sejenis algoritma atau kecerdasan buatan untuk memproses imej. Zerocam adalah aplikasi kamera untuk peranti Android yang mengambil gambar terus dengan sensor tanpa melalui sebarang pemprosesan.

Jika aplikasi kamera Halide boleh melakukan perkara sama untuk iPhone, Zerocam adalah alternatif untuk pengguna Android. Setiap imej yang ditangkap akan disimpan dalam format RAW, kemudian semua kesan HDR tidak disimpan, aplikasi tidak menyokong mod potret atau makro dan hanya mempunyai viewfinder dan butang pengatup. Ia secara asasnya mengambil gambar “mentah” yang memerlukan pengguna sendiri melakukan suntingan warna.

Aplikasi ini percuma untuk digunakan tetapi dihadkan kepada 5 gambar sehari. Untuk penggunaan tanpa had, Zerocam mengenakan caj langganan bulanan RM4.99 atau tahunan RM45.99. Zerocam turut ada versi iOS tetapi berdasarkan pemantauan saya, pengguna iPhone lebih menggemari aplikasi Halide. Jika anda ingin cuba memperbaiki cara mengambil gambar, ini mungkin aplikasi yang terbaik kerana memberi satu cabaran di mana ciri dan fungsi menarik dari pengeluar peranti telah dimatikan.


[sumber] 9to5Google [/sumber]