Rafizi Ramli: Ujian Rintis MyKad Dan Dompet Digital Untuk Subsidi Petrol Bersasar Sudah Dijalankan Selama 20 Bulan
Nazrin
Seperti yang diumumkan sewaktu Belanjawan 2025 tahun ini, kerajaan dijangka akan memperkenalkan program subsidi petrol bersasar pada pertengahan tahun hadapan, apabila semua kajian dan ujian berkenaannya sudah lengkap dilakukan.
Menjawab pertanyaan MP Kuala Krau, Kamal Ashaari berkaitan samada kerajaan hanya mengumumkan dahulu polisi tersebut sebelum menguji-kajinya kemudian, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata bahawa ujian rintis menggunakan MyKad dan dompet digital seperti Touch’n’Go eWallet dengan gabungan sistem PADU sudahpun bermula sejak 20 bulan yang lalu.
Menjawab lagi soalan berkenaan bagaimanakah subsidi bersasar ini akan berfungsi, beliau mengatakan bahawa sistem subsidi bersasar ini adalah gabungan kerjasama diantara Kementerian Ekonomi dan juga Kementerian Kewangan, dimana proses pengesahan kelayakan subsidi akan dikendalikan oleh kementerian beliau, manakala penetapan harga dua taraf petrol RON95 akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Beliau juga berkata bahawa untuk masa ini, kedua-dua kementerian ini masih lagi sedang dalam proses menentukan cara terbaik untuk mengimplimentasi mekanisma subsidi ini, dan ia dijangka akan dibentangkan di mesyuarat Kabinet pada pertengahan tahun ini, selari dengan pelan Belanjawan 2025 untuk memperkenalkan subsidi bersasar ini.
Ia juga ditekankan bahawa pihak kerajaan sedar buat masa ini tentang beberapa kesukaran yang perlu dihadapi, khususnya untuk mereka di luar bandar yang mungkin tidak ada akses kepada sambungan internet yang diperlukan untuk pengesahan MyKad dan penggunaan dompet digital.
Isu seperti cip ID yang rosak dan penyalahgunaan kad pengenalan juga sedang dibincangkan, dan pihak kerajaan nampaknya tekad dalam memastikan bahawa sistem subsidi ini mudah dan selamat digunakan oleh rakyat Malaysia.
[sumber]Malay Mail[/sumber]