NVIDIA dijangka akan memperkenalkan siri kad grafik gaming GeForce RTX 5000 mereka seawal Januari tahun hadapan di acara CES 2025 di Las Vegas melalui acara ucaptama CEO syarikat Jensen Huang. Ia juga dijangka bahawa kad-kad grafik, khususnya NVIDIA GeForce RTX 5090 dan RTX 5080 akan diperkenalkan tidak lama selepas pengumuman dibuat, jadi untuk sekarang, nampaknya NVIDIA sedang sibuk mengeluarkan kad-kad grafik terbaru mereka.
Melalui laman forum industri Boarda Channels di China yang sering berbincang mengenai perkara yang berlaku dalam industri pengeluaran, ia dikatakan bahawa NVIDIA telah mengalih fokus pengeluaran cip pemprosesan grafik dan kad grafik mereka hampir sepenuhnya untuk memenuhi permintaan untuk cip pemprosesan Blackwell yang akan menguasakan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000.
Untuk siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4000, nampaknya NVIDIA hanya memfokuskan terhadap pengeluaran cip grafik AD107 yang digunakan pada NVIDIA GeForce RTX 4060, iaitu kad grafik paling mampu milik dalam siri tersebut.
Perkara ini dilihat selari dengan banyak laporan di luar sana dimana model-model kad grafik seperti NVIDIA GeForce RTX 4090 dan GeForce RTX 4080 semakin sukar untuk dicari di pasaran sekarang. NVIDIA masih belum mengumumkan penghentian penjualan sebarang kad-kad grafik dalam siri tersebut, tetapi secara lazimnya ia akan mengambil masa beberapa bulan untuk NVIDIA dan syarikat pengeluar kad grafik untuk menghabiskan stok bekalan sedia ada.
Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, NVIDIA dijangka akan melancarkan kad grafik paling berkuasa mereka terlebih dahulu, seperti yang kami katakan diatas. NVIDIA GeForce RTX 5090 dan RTX 5080 akan dilancarkan terlebih dahulu, manakala NVIDIA GeForce RTX 5070 akan diperlihatkan kemudian. Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah NVIDIA GeForce RTX 5060 akan diumumkan.