Amerika Kembali Menghasilkan TNT Dalam Negara Selepas Hampir 40 Tahun
Effi Saharudin
TNT ialah bahan letupan yang menjadi sumber kekayaan Alfred Nobel. Kematian yang disebabkan oleh TNT menimbulkan keinsafan dan Hadiah Nobel mula diberikan pada tahun 1901 sebagai usaha membersihkan nama. Tetapi tahukah anda Amerika Syarikat yang mempunyai belanjawan ketenteraan terbesar dunia tidak mengeluarkan TNT untuk keperluan sendiri sejak 1986.

Selepas hampir 40 tahun, Amerika Syarikat kini bersedia untuk mengeluarkan TNT di kilang milik Repkon USA dengan kontrak mencecah $435 juta. Kilang akan memulakan operasi dalam masa 48 bulan selepas kontrak diberikan.
Pengeluaran TNT di Amerika dihentikan pada tahun 1986 kerana ia menyebabkan pencemaran yang tinggi serta menghasilkan bahan buangan yang toksik. Ia menamatkan pengeluaran TNT domestik yang dilakukan sejak sebelum Perang Dunia Pertama. Selama ini keperluan TNT Amerika adalah diimport dari India dan Poland.
Konflik Ukraine memerlukan TNT bagi menghasilkan letupan, peluru meriam dan bom tangan. Amerika ingin meningkatkan pengeluaran peluru 155mm untuk meriam howitzer dari sekitar 3,000 sebulan ke 36,000 menjelang penghujung 2025. Penghasilan semula TNT dalam negara ialah usaha Amerika Syarikat untuk memastikan bekalan berterusan sekiranya berlaku konflik di Eropah dan Asia yang boleh menyebabkan rantaian bekalan terputus.
[sumber] Army.mil [/sumber]