Fujifilm sejak kebelakangan ini telah menarik perhatian orang ramai kerana menawarkan pengalaman fotografi seakan menggunakan kamera vintaj melalui teknologi simulasi filem mereka. Bulan lepas, Fujifilm Malaysia telah membuka pra-tempahan untuk kamera X-M5 dan hari ini ia dilancarkan secara rasmi.
Fujifilm X-M5 adalah kamera digital nircermin paling ringan dalam sejarah siri X mereka. Ia mempunyai berat 355g, menyokong ciri autofokus yang boleh mengesan haiwan dan kenderaan bergerak menggunakan AI. Sokongan rakaman adalah sehingga 6.2K/30P, bermakna kamera ini juga sesuai untuk rakaman video.
X-M5 menggunakan sensor X-Trans CMOS 4 bersaiz 26.1 Megapiksel, dijana cip pemprosesan X-Processor 5, terdapat 20 mod simulasi filem yang boleh dikawal dengan tombol berputar fizikal dan turut mengikut strategi kamera Sony dengan menyertakan mod rakaman video menegak 9:16. Video turut boleh disimpan dalam format warna 10-bit dan audio dirakam dengan 3 mikrofon terbina dengan mod rakaman pelbagai arah.
Kamera ini turut hadir dengan pilihan aksesori seperti FAN-001 iaitu kipas penyejuk untuk sesi rakaman yang lebih lama dan juga tripod TG-BT1jenis mudah alih untuk kerja rakaman yang lebih fleksibel. Di acara pelancaran hari ini, Fujifilm Malaysia turut membawa masuk dua lensa baharu yang boleh digunakan bersama X-M5 iaitu FUJINON XF 500mm F5.6 R LM OIS WR dan FUJINON XF 16-55 mm R LM WR II.
FUJINON XF 500mm
Lensa ini adalah lensa prima super-telefoto dengan jarak fokus 500mm dengan bukaan lensa f/5.6. Ia menggunakan format APS-C dengan kesan pangkas (crop) 1.5x, menawarkan kawalan fokus yang lebih mendalam, memberi pengguna lebih banyak fleksibiliti, kebolehan fokus sepantas 0.33 saat dan turut menyokong sambungan FUJINON XF 1.4X TC WR dan XF 2,0X TC WR. Lensa ini turut direka khusus untuk kemampuan zum dan mengambil gambar subjek bergerak pantas.
FUJINON XF 16-55 mm
Lensa ini adalah jenis lensa zum standard. Kali ini lensa ini direka untuk menjadi 37% lebih ringan berbanding generasi lepas. Lensa ini turut hadir dengan bukaan lensa yang besar, selain turut pertama kali di bawah siri XF menyokong Aperture Click Switch untuk mengubah jumlah cahaya masuk secara lebih lancar. Lensa ini mempunyai bukaan f/2.8 dengan sokongan rakaman sudut-lebar 16mm atau zum 55mm.
Berikut adalah harga jualan bagi setiap produk yang dilancarkan hari ini;
- Fujifilm X-M5, tubuh sahaja – RM3,948.
- Fujifilm X-M5, kit lensa XC 15-45mm – RM4,398.
- FUJINON XF 16-55 mm R LM WR II – RM5,998.
- FUJIFILM XF 500mm F5.6 R LM OIS WR – RM14,998.