Samsung telah mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan generatif mereka ke pelbagai produk tidak kira telefon pintar Galaxy, mesin basuh atau juga televisyen. Terbaru, televisyen pintar Samsung Neo QLED dan QLED model tahun 2024 telah menerima ciri menjana imej dengan AI.
Bagi yang tidak tahu, televisyen Samsung ada mod Ambient untuk memaparkan imej-imej menarik apabila televisyen tidak digunakan. Imej-imej ini turut boleh menjadi gambar latar sambil televisyen memaparkan masa, cuaca dan berita. Jika sebelum ini pengguna boleh pilih imej dari pelbagai koleksi yang Samsung sertakan atau imej sendiri, ciri baharu membenarkan pengguna menjana imej latar terus dengan kecerdasan buatan generatif.
Samsung dilihat menggunakan kaedah lebih kurang sama dengan Google pada beberapa perkhidmatan AI mereka, di mana pengguna perlu memilih beberapa kata kunci dan tema untuk menjana imej yang dikehendaki. Menariknya, setiap imej yang dijana adalah 4K yang boleh memanfaatkan kualiti skrin cantik televisyen Samsung. Buat masa ini, ciri ini terhad kepada televisyen Neo QLED dan QLED model tahun 2024 untuk pengguna di Korea Selatan, Amerika Utara dan Eropah. Untuk pengguna global ia akan diberikan secara berperingkat bermula tahun 2025.