Final Cut Pro 11 dilancarkan hari ini dengan ia membawakan semakin banyak ciri yang bersandarkan kemampuan AI. Perisian suntingan video popular untuk macOS ini hadir dengan ciri seperti Magnetic Mask yang boleh memisahkan sesuatu objek dalam video secara automatik tanpa melalukan masking secara keyframe seperti sebelum ini.
Ciri Transcribe to Captions pula menghasilkan sari kata dalam pelbagai bahasa secara automatik yang mirip pada perisian Cap Cut. Menurut Apple ini ialah antara ciri yang paling diminta pengguna Final Cut. Selain itu terdapat ciri Smart Conform yang dengan pintar mengubah video yang dirakam untuk diubah ke pelbagai format video media sosial degan bantuan AI.
Voice Isolation pula boleh memisahkan audio utama daripada audio latar. Sementara itu Enhance Light and Colour pula mempertingkatkan kualiti video dan imej statik yang digunakan dalam projek secara automatik.
Final Cut Pro 11 juga kini menyokong suntingan video spatial yang dirakam menggunakan Vision Pro, iPhone 15 Pro, iPhone 16, iPhone 16 Pro, dan Canon R7 dengan lensa RF-S7.8mm F4 STM DUAL. Projek yang sedang disunting kemudiannya boleh dilihat dalam skrin Vision Pro untuk melihat sama ada kesan spatial yang disunting kelihatan seperti yang dikehendaki. Sokongan ruang kerja FCP dalam skrin maya Mac dalam Vision Pro juga dipertingkat menerusi versi terkini ini.
Perisian Final Cut Pro 11 boleh dimuat turun sekarang pada harga RM1,299.90 dan kemas kini ke versi terkini secara percuma turut boleh dilakukan menerusi Mac App Store.