Fail ISO Sistem Operasi Windows 11 Untuk Peranti Arm Kini Boleh Dimuat-turun
Nazrin
Sistem operasi Windows 11 untuk peranti Arm bukanlah sesuatu yang baru. Diperkenalkan sejak 2012 melalui peranti Microsoft Surface, ia telah melalui pelbagai jenis perubahan sehingga kini dimana ia boleh digunakan sebagai sebuah sistem operasi yang hampir memiripi prestasi versi X86.
Sehingga kini, sistem operasi Windows 11 untuk Arm hanya hadir melalui komputer-komputer yang dikuasakan cip pemprosesan Arm yang dibeli. Semua ini sudah berubah dimana Microsoft mengesahkan bahawa bermula hari ini, fail ISO untuk memasang sistem operasi Windows 11 versi Arm boleh dimuat-turun melalui laman web mereka.

Fail ISO ini dilihat sebesar 5GB sahaja dan boleh dimuat-turun dan dijadikan sebagai sebuah fail installer didalam sebuah peranti storan USB kecil dan digunakan sebagai peranti pemasangan sistem operasi tersebut. Microsoft mengatakan bahawa buat masa ini, semua peranti yang menggunakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X boleh memasang sistem operasi ini secara terus tanpa masalah, tetapi pengguna masih perlu memasang perisian-perisian pemandu tambahan secara manual.
Untuk peranti-peranti Arm yang menggunakan cip pemprosesan yang lebih tua, Microsoft juga telah membangunkan sebuah laman web yang menerangkan cara-cara fail ISO ini boleh digunakan untuk memasangkan sistem operasi pada peranti mereka.
Anda boleh ke laman web Microsoft Windows 11 Arm ISO untuk memuat-turun fail tersebut hari ini.