YouTube Menyatakan Pelanggan Premium Tidak Sepatutnya Disajikan Iklan
Fahim Zahar
YouTube Premium adalah pelan langganan berbayar yang kini semakin mahal. Ia menawarkan akses YouTube bebas iklan, audio boleh bermain di latar, Shorts ada paparan gambar-dalam-gambar, dan pelanggan turut akan menerima pelbagai ganjaran lain. Tular baru-baru ini, sudah langgan pun YouTube masih memaparkan iklan.

Iklan ini dilihat oleh pelanggan Premium di Amerika Syarikat di mana YouTube menyajikan promosi tiket NFL. Sebelum itu, iklan perkhidmatan Google turut dipaparkan kepada pelanggan YouTube Premium. Lebih mengecewakan, selepas pengguna melaporkan perkara ini – YouTube hanya menjawab “Iklan promosi kadangkala boleh muncul dari rakan pengiklan tertentu atau tawaran masa terhad.”
Dalam kenyataan YouTube yang dilaporkan oleh 9to5Google, mereka menyatakan pelanggan Premium tidak sepatutnya disajikan iklan. Semua ganjaran atau tawaran untuk pelanggan Premium boleh diakses melalui laman Premium Benefits dan bukannya terpapar pada laman utama atau di dalam video. Ganjaran Premium Benefits kebanyakan terhad di negara tertentu dengan pelanggan di Malaysia hanya boleh menikmati kandungan eksklusif video muzik.
Dalam semakan kami, pelanggan YouTube Premium di Malaysia setakat ini masih belum ada yang melaporkan isu iklan terpapar. Anda pula bagaimana?
[sumber] 9to5Google [/sumber]