Razer Melancarkan Dermaga USB4 Untuk Menambahkan Pilihan Sambungan Palam Pada Komputer RIba
Nazrin
Komputer riba, tidak kira jenis dan saiz kini boleh dilihat sebagai pengganti komputer desktop untuk pelbagai jenis tujuan, tidak kira produktiviti ataupun riadah. Apabila dilihat dari segi saiz, sebuah komputer riba kadang-kala lebih baik digunakan berbanding desktop yang besar, tetapi dengan satu kekurangan dimana palam USB kadang-kala tidak mencukupi.

Dengan ini, Razer telah melancarkan aksesori baru mereka, iaitu Razer USB4 Dock yang memanfaatkan kelajuan penghantaran data USB4 untuk membolehkan anda memanfaatkan sambungan USB4 pada komputer riba anda untuk memasang sebanyak mana aksesori dan perkakasan komputer yang anda mahukan.
Razer USB4 Dock tampil dengan sokongan penghantaran data sepantas 40Gbps dan tampil dengan sokongan untuk palam USB 3.2 Type-A, USB 3.2 Type-C dengan sokongan pengecasan 100W, HDMI 2.1, DisplayPort 1.4 yang menyokong dua paparan sehingga 4K120Hz, palam RJ-45 untuk sambungan internet dan juga sokongan untuk kad SD dan MicroSD.

Apa yang membuatkan aksesori ini cukup menarik sekali ialah ia hanya memerlukan satu kabel untuk disambungkan kepada palam USB4 komputer anda (selain daripada kabel kuasa) untuk menjadikannya sebuah hab yang boleh merumahkan semua aksesori-aksesori dan perkakasan komputer anda.

Untuk pasaran Malaysia, nampaknya Razer telah mula menjual dermaga Razer USB4 Dock ini melalui laman web rasmi mereka untuk pasaran tempatan pada harga RM1000. Menariknya, melalui emel yang diterima oleh kami hari ini, Razer Malaysia mengatakan bahawa ia belum ditawarkan melalui pengedar rasmi tempatan. Jika anda berminat untuk membelinya, nampaknya ia hanya ditawarkan melaui laman web tersebut.