Carian
Google Akan Menghentikan Penyiaran Iklan Politik Di Semua Platform Mereka Di Rantau EU
November 15, 2024 Nazrin

Untuk negara-negara Barat, ia tidak mengejutkan untuk melihat iklan-iklan yang memaparkan kandungan politik apabila menghampiri waktu pilihanraya. Jika berdekad sebelum ini ia hanya diperilhatkan di kaca televisyen, di zaman internet ini, ia juga dapat diperlihatkan di laman-laman web dan juga pelbagai perkhidmatan atas talian.

Kesatuan Eropah akan memperkenalkan satu akta baru yang dinamakan Regulation on Transparency and Targeting of Political Advertising (TTPA) pada Oktober 2025 kelak yang akan mengetatkan lagi undang-undang berkenaan pengiklanan politik di rantau tersebut.

Menurut Google, pengenalan TTPA ini akan memperkenalkan kesukaran tambahan dari segi operasi dan ketidaktentuan perundangan tentang bagaimanakah platform-platform seperti Google boleh memaparkan iklan politik di negara-negara tersebut.

Sehingga kni, Google sudahpun memastikan bahawa mana-mana pihak yang mahu memaparkan iklan berkenaan politik dan berkaitan dengan pilihanraya perlu mengesahkan identiti pengiklan, dan pendedahan dalam iklan itu sendiri tentang siapakah yang membayarnya untuk pengetahuan umum.

Dengan TTPA, definisi “iklan politik” dilihat akan diperluaskan dan ini akan menyukarkan lagi kerja Google untuk memperlihatkan iklan seperti kesedaran sosial sebagai contoh pada platform-platform mereka kerana definisi yang semakin luas.

Oleh kerana ini, Google baru sahaja mengumumkan keputusan untuk tidak lagi memaparkan sebarang “iklan politik” di rantau tersebut, termasuklah melalui platform Google Ads mahupun di platform perkhidmatan lain-lain mereka seperti GMail dan juga YouTube, termasuklah iklan-iklan politik berbayar.

Keputusan ini akan berkuat-kuasa sebelum TTPA diperkenalkan pada Oktober tahun hadapan.

Keputusan untuk menghentikan penyiaran iklan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Sebelum ini, Google sudahpun menghentikannya di negara-negara seperti Perancis, Kanada dan Brazil kerana sekatan oleh kerajaan negara tersebut.

Google mengatakan kekesalan mengenai perkara ini kerana iklan-iklan politik dikatakan diantara satu cara untuk rakyat mendapatkan maklumat berkaitan pilihanraya, seperti maklumat individu yang bertanding dan polisi-polisi yang mahu diketengahkan.

Google Blog

Komen