Snapchat Menambah Ciri Perkongsian Lokasi Dan Keselamatan Baharu Melalui Family Centre
Amy Maizuraa
Snapchat Family Center membolehkan ibu bapa memantau aktiviti penggunaan media sosial anak-anak mereka. Snapchat juga memberikan pembaharuan padanya dengan mengumumkan ciri perkongsian lokasi dan keselamatan baharu, yang juga menyediakan lebih banyak fungsi kawalan ibu bapa dalam melindungi anak-anak daripada risiko penggunaan internet yang tidak terkawal.

Melaluinya ibu bapa kini boleh meminta lokasi anak-anak secara langsung melalui butang baharu di Family Center. Ia turut memudahkan ibu bapa untuk berkongsi lokasi mereka kembali bagi memasyikan semua orang dimaklumkan tentang keberadaan masing-masing sebaik sahaja mereka ikut serta. Ciri perkongsian lokasi ini juga sentiasa dimatikan secara lalai, dan tidak ada pilihan berkongsi dengan seseorang yang bukan kenalan dalam aplikasi Snapchat.

Selain itu ibu bapa juga boleh melihat beberapa tetapan privasi dan keselamatan anak-anak, dan tidak lama lagi mereka turut boleh mempunyai akses kepada pilihan perkongsian lokasi. Hal ini membolehkan ibu bapa mengikuti perkembangan anak-anak termasuk mengambil maklum tentang kenalan yang boleh melihat lokasi mereka di Snap Maps.

Snapchat juga menambah fungsi pemberitahuan perjalanan untuk sejumlah lokasi seperti rumah, sekolah atau gym. Seterusnya membolehkan ibu bapa sentiasa dimaklumkan tentang keberadaan anak-anak termasuk masa tiba di kelas, atau pulang ke rumah selepas bermain dengan rakan-rakan. Ciri ini direka untuk meningkatkan meningkatkan tahap keselamatan anak di mana sahaja mereka bagi mengelak menjadi sasaran penjenayah.

Bagi mereka yang memilih untuk berkongsi lokasi dengan semua kenalan pula, Snapchat akan memperkenalkan fungsi peringatan tambahan untuk menyemak tetapan aplikasi apabila terdapatnya rakan baharu yang ditambah di luar kebiasaan mereka. Kesemua ciri baharu ini akan dilancarkan dalam beberapa minggu akan datang, dan Snapchat menggalakkan pengguna untuk memberikan maklum balas.
[sumber] Snapchat Newsroom [/sumber]