Ulasan Realme GT7 Pro – Peranti Mercu Elit Yang Hampir Komplit
Fahim Zahar
Realme GT7 Pro telah pun tiba di Malaysia hari ini dan saya telah menggunakan peranti ini sebagai telefon pintar harian untuk beberapa minggu. Adakah realme GT7 Pro ini peranti mercu paling elit setara dengan cip pemproses paling berkuasa mereka gunakan iaitu Snapdragon 8 Elite? Atau ia hanya elit pada nama?

SPESIFIKASI DAN REKAAN
| Skrin | 6.78″ LTPO OLED, + 2780 x 1264 piksel, 1Hz-120Hz, 6000 nits, Dolby Vision, Gorilla Glass 7i |
| CPU | Snapdragon 8 Elite (3nm) 2x 4.32 GHz Oryon V2 Phoenix L 6x 3.53 GHz Oryon V2 Phoenix M |
| GPU | Adreno 830 |
| Memori | 12/16 GB RAM LPDDR5X |
| Storan | 256/512/1000 GB UFS 4.0 |
| Kamera Belakang | Sony IMX906, 50MP (Sudut Lebaar) ƒ/1.8, OIS Sony IMX882, 50MP (Telefoto) ƒ/2.65, OIS Sony IMX355, 8MP (Sudut Ultra Lebar) ƒ/2.2 HYPERIMAGE+ |
| Kamera Hadapan | 16MP ƒ/2.45 |
| Audio | Speaker stereo |
| Biometri | Cap jari bawah skrin Ultrasonik |
| Lain-lain | Wi-Fi 7 360° NFC Bluetooth 5.4 GPS Dwi-Band L1 + L5 |
| Perlindungan | IP68/IP69 |
| Bateri | 6,500mAh Berwayar 120W |
| Harga | Berharga RM3,699 |

Niat realme untuk menjadi peranti mercu yang setanding dengan jenama lain yang lebih premium boleh dikatakan sudah hampir menjadi realiti dengan GT7 Pro sebagai fasa awal yang hampir sempurna. Memegang peranti ini tidak rasa seperti peranti realme yang biasa, sebaliknya terasa seakan memegang Xiaomi 14 dan Samsung Galaxy S24 Ultra. Ia tidak lompong, rasa pejal, ada sentuhan kemasan yang mewah dan juga sedap di dalam tangan.

Unit yang saya uji ini adalah versi warna unik realme iaitu Mars Design, yang mengambil permukaan planet Marikh sebagai inspirasi untuk corak dan juga tona warna. Saya secara peribadi amat menggemari peranti mercu yang warnanya terang sebegini dan tidak bosan dengan tema monokrom.
Sayang sekali, realme terlepas untuk menjadi peranti mercu premium kerana tidak menawarkan butang tambahan seperti iPhone 16 atau Oppo Find X8. Jika realme menyertakan suis lungsur seakan OnePlus pun saya akan beri pujian tinggi, diharapkan ini akan berubah pada model seterusnya.

Jarang saya boleh menerima rekaan bonggol kamera gergasi, tetapi pada GT7 Pro saya boleh maafkan. Bonggol kamera menggunakan rekaan dua lapis dengan yang pertama di bawah adalah aluminium dan lapisan kedua kaca. Ia memberi satu identiti tersendiri dan berbeza dengan peranti mercu pesaing.

PENGGUNAAN – realme UI 6.0 + NEXT AI
realme UI 6.0 berasaskan Android 15 dengan NEXT AI adalah sistem operasi dan ciri kecerdasan buatan generatif pada GT7 Pro. realme UI 6.0 jelas sekali menggunakan kod yang sama dengan color OS yang kini menggunakan kod Oxygen OS. Tatalan pada antaramuka, peralihan animasi, buka/tutup aplikasi, tukar ke aplikasi lain dan penggunaan harian adalah seakan menggunakan iOS pada peranti Android. Ia sangat lancar dan pantas yang memberi satu kepuasan yang sangat saya idamkan.

Penggunaan realme UI 6.0 pada peranti ini memberi pengalaman 100% sama dengan OnePlus 12. Dari segi antaramuka, tema, kebolehan kustomasi, pengurusan memori, aplikasi sistem, aplikasi kamera, dan lain-lain memang sukar untuk bezakan dengan Oxygen OS atau color OS. Ini adalah satu perkara baik kerana ia akan menjamin prestasi konsisten untuk penggunaan jangka masa panjang.

Membezakan realme UI dengan pesaing adalah sistem kecerdasan buatan generatif yang digunakan. NEXT AI adalah nama realme, yang sebenarnya hanyalah penjenamaan semula kepada AndesGPT yang digunakan oleh Oppo dan OnePlus. Dari segi prestasi, kestabilan, animasi menjana kandungan dan fungsi yang boleh digunakan memang tiada beza selain pada nama. Saya tidak kisah akan perkara ini, cuma ia boleh mengelirukan orang ramai dengan percaya yang ciri AI ditawarkan eksklusif kepada realme sahaja.

Dengan GT7 Pro, realme UI turut dilihat cuba mengikut penawaran oleh Apple. realme mempunyai Live Alerts iaitu Dynamic Island versi Android yang menyokong dua aplikasi serentak. Ia turut menawarkan ciri seakan AirDrop iaitu O+ dengan menu perkongsian kini memaparkan teks Share to iPhone. Ciri kustomasi skrin utama dan kunci skrin melalui tema Flux turut meminjam kaedah lebih kurang sama dengan Apple.

realme UI 6.0 juga adalah sistem operasi yang sangat ringan dan mesra pengguna. Ia kosong seakan menggunakan Pixel dan tiada iklan yang menjengkelkan. Banyak aplikasi terpasang turut dibenarkan untuk terus dibuang atau dimatikan. Bercakap mengenai Pixel, realme turut mengikut strategi Google untuk keselamatan pengguna dengan menggunakan cip sekuriti khas.

NEXT AI yang tersedia pada peranti ini cukup menarik walaupun hanya salin dan tampal dari Oppo. Aplikasi perakam audio mempunyai ciri menjana transkrip dan kemudian boleh dirumuskan oleh AI untuk rujukan lanjut. Ia berfungsi dengan pantas dan sangat baik, cuma ia terhad kepada bahasa Inggeris sahaja.

realme turut menyediakan papan pemuka khas untuk pemantauan penggunaan memori, CPU dan GPU. Ia adalah ciri berguna untuk pengguna yang mementingkan prestasi peranti lagi-lagi dalam gaming. Ciri ini seakan Armoury Crate pada ROG Phonr, cuma versi realme terus terbina di dalam tetapan sistem.

GAMING – Penanda Aras Snapdragon 8 Elite, Permainan Konsol
Snapdragon 8 Elite adalah cip pemprosesan paling berkuasa untuk telefon pintar mercu Android. Ia menggunakan teknologi CPU Oryon yang sama pada cip Snapdragon X Elite untuk komputer Windows. Penanda aras realme GT7 Pro diuji dengan AnTuTu 3D, Geekbench 6, Geekbench AI dan 3D Wild Life Extreme. Setakat ujian yang dilakukan selepas beberapa kali, realme GT7 Pro dilihat adalah raja prestasi setakat ini.



AnTuTu 3D
- Snapdragon 8 Elite – 2,642,097
- MediaTek Dimensity 9400 – 2,629,017
- Apple A18 Pro – 1,720,751
- Snapdragon 8 Gen 3 – 2,200,000
- Apple A17 Pro – 1,542,050
- Tensor G4 – 1,016,712
- MediaTek Dimensity 9300 – 1,852,552
Geekbench 6
- Snapdragon 8 Elite – 2,789/9,002
- MediaTek Dimensity 9400 – 2663 / 8959
- Apple A18 Pro – 3359 / 8129
- Snapdragon 8 Gen 3 – 2329/7526
- Apple A17 Pro – 2793/6925
- Tensor G4 – 1916/4644
- MediaTek Dimensity 9300 – 2071/5032
Geekbench AI
- Snapdragon 8 Elite – 2307/2323/3027
- MediaTek Dimensity 9400 – N/A
- Apple A18 Pro – 4516 / 7744 / 6204
- Snapdragon 8 Gen 3 – 1704 / 1829/ 2773
- Apple A17 Pro – 3705 / 6515 / 5696
- Tensor G4 – 2058 / 2017 / 3129
- MediaTek Dimensity 9300 – N/A
3DMark Wild Life Extreme
- Snapdragon 8 Eliete – 5,922
- MediaTek Dimensity 9400 – 6251
- Apple A18 Pro – 4560
- Apple A18 – 3698
- Apple A17 Pro – 3746
- Tensor G4 – 2567
- Snapdragon 8 Gen 3 – 4717
- MediaTek Dimensity 9300 – 4067
Peranti memang tiada masalah dalam mengendalikan permua bergrafik tinggi seperti Call of Duty Warzone, GTA San Andreas dan PUBG Mobile. Peranti juga tidak semput apabila menjalankan permua berat seperti Zenless Zero dan Genshin Impact. Lebih mengejutkan, selepas satu sesi mana-mana permainan yang mengambil masa sekitar 20 minit ke 1 jam – GT7 Pro langsung tidak memanas dan berlaku lengah masa.

Apa yang mengecewakan adalah janji realme untuk GT7 Pro menyokong permainan AAA PC. Secara teori, cip memang boleh tetapi tiada permainan yang tersedia boleh. Untuk demo, realme bekerjasama dengan GameSir, iaitu pengeluar aksesori alat kawalan yang menggunakan aplikasi GameHub untuk pelagak permainan AAA PC seperti GTA V atau Assassin Creed Black Flag. Duka cita dimaklumkan, aplikasi ini amat mencurigakan dan sumber permainan juga kelihatan tidak sahih dengan fail .EXE permainan lengkap disediakan tetapi meminta pelbagai butiran peribadi untuk dibenarkan akses.
KAMERA – HYPERIMAGE+ ke Hasselblad?
Saya tidak pasti apa rahsia realme dalam sains warna teknologi kamera HYPERIMAGE+ mereka, tetapi pada GT7 Pro ini ia jauh berbeza dengan reame 13 Pro tempoh hari. Pada hemat saya, realme kali ini seakan meminjam teknologi Hasselblad yang digunakan Oppo dan OnePlus tetapi diubah sedikit untuk menjadi unik pada realme.

Dari segi potret, kemampuan malam, sudut ultra lebar, kontras warna dan pemeliharaan butiran – kamera realme GT7 Pro seakan menggunakan butiran OnePlus 11 dengan warna pada OnePlus 12 tetapi tiada jenama Hasselblad. Kemampuan fokusnya yang luar biasa, tempoh imej diproses yang sangat pantas dan kesan julat tinggi dinamik (HDR) juga kelihatan memuaskan.











Kemampuan video sayang sekali masih belum berada di tahap peranti mercu premium. Rakaman 4K memang cantik, tetapi hasil akhirnya tidak diproses dengan baik menyebabkan kewujudan kesan artifak dan kesan penstabilan yang tidak sempurna.
BATERI – 6500mAh + 120W SuperVOOC
Saya tidak dapat menguji pengecasan realme GT7 Pro dengan pengecas asli, tetapi saya ada pengecas Oppo Find X8 yang menggunakan piawaian yang sama. Ia menyokong pengecasan pantas 120W yang tiada masalah mengecas peranti dari 0% ke 100% dalam masa bawah 30 minit untuk bateri berkapasiti 6500mAh.

Amat mengecewakan tiada sokongan Qi2, tetapi sekurang-kurangnya bateri peranti ini tahan sangat lama. Penggunaan ekstrem seperti kamera, aplikasi penstriman, AI dan permua ia boleh bertahan sehingga sekitar 7 jam SOT. Sementara penggunaan ringan tiada masalah untuk mencapai sehingga 9 jam SOT. Setakat penggunaan saya untuk beberapa minggu, GT7 Pro tiada masalah untuk bertahan sehingga 1 hari setengah dengan satu pengecasan.
PESAING
| realme GT7 Pro | vivo X 200 Pro | Oppo Find X8 Pro |
| 6.78″ LTPO OLED, 2780 x 1264, 1Hz-120Hz, 6000 nits, Dolby Vision, Gorilla Glass 7i | 6.78″ LTPO OLED, 2800 × 1260, 1Hz-120Hz, 4500 nits HDR10+, Kaca tahan lasak/calar | 6.78″ LTPO AMOLED, 2780 × 1264, 1Hz-120Hz 2700 nits (peak), Dolby Vision, Gorilla Glass Victus 2 |
| Snapdragon 8 Elite (3nm) CPU 2x 4.32 GHz Oryon V2 Phoenix L 6x 3.53 GHz Oryon V2 Phoenix M | Dimensity 9400 (3nm) CPU 1x 3.63 GHz Cortex-X925 3x 3.3 GHz Cortex-X4 4x 2.4 GHz Cortex-A720 | Dimensity 9400 (3nm) CPU 1x 3.63 GHz Cortex-X925 3x 3.3 GHz Cortex-X4 4x 2.4 GHz Cortex-A720 |
| GPU Adreno 830 | GPU Immortalis-G925 | GPU Immortalis-G925 |
| 12GB RAM LPDDR5X 512 GB UFS 4.0 | 16GB RAM LPDDR5X 512 GB UFS 4.0 | 16GB RAM LPDDR5X 1000 GB UFS 4.0 |
| Kamera Utama Sony IMX906 (Sudut Lebar) 50MP, ƒ/1.8, OIS, Sony IMX882 (Telefoto) 50MP, ƒ/2.65, OIS, Sony IMX355 (Sudut Ultra Lebar) 8MP HYPERIMAGE+ Kamera Swafoto 16MP, ƒ/2.45 | Kamera Utama Zeiss T* (Sudut Lebar) 50MP, ƒ/1.57, OIS, Zeiss APO (Telefoto) 200MP, ƒ/2.67, OIS, Sudut Ultra Lebar 50MP, ƒ/2.0 Gimbal Kamera Swafoto 32MP, ƒ/2.0 | Kamera Utama Sudut Lebar 50MP, ƒ/1.6, OIS, Telefoto 50MP, ƒ/4.3, OIS, Sudut Ultra Lebar 50MP, ƒ/2.0 Potret Hasselblad 50MP, ƒ/2.6 Hasselblad Kamera Swafoto 32MP, ƒ/2.4 |
| IP68/IP69 | IP68/IP69 | IP68/IP69 |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 6,500mAh 120W Berwayar (SuperVOOC) | 6000mAh 90W Berwayar (Flash Charge) 30W Nirwayar | 5910mAh 80W Berwayar (SuperVOOC) 50W, Nirwayar |
| Berharga RM3,699 | Bermula RMB 5,299 (~RM3,200) | Bermula RMB 5,299 (~RM3,200) |
DALAM KOTAK
- 1x realme GT7 Pro
- 1x Palam pengecas SuperVOOC 120W.
- 1x Kabel USB-A ke USB-C.
- 1x Kerangka pelindung.
- 1x Pin SIM
- 1x Set panduan dan keselamatan.

KESIMPULAN
GT7 Pro adalah bukti yang realme juga boleh hadir dengan peranti mercu kelas premium yang sesuai untuk golongan Elit. Cuma, kali ini realme masih berada di fasa awal dan GT7 Pro masih tidak setanding dengan peranti mercu premium lain. Rekaan dan binaan sudah cukup gah, cip pemprosesan sudah cukup hebat, kemampuan kamera juga menakjubkan, ada perlindungan IP68/IP69, skrin LTPO dan bateri pula tahan lama – realme GT7 Pro adalah peranti mercu yang serba lengkap. Kemampuan AI yang ditawarkan walaupun tidak begitu unik tetapi sekurang-kurangnya setanding dengan yang ditawarkan pada peranti pesaing.

Sayang sekali untuk harga jualan RM3,699 ianya adalah lebih mahal berbanding peranti keluar mereka sebelum ini yang rata-ratanya dijual pada harga bawah RM3000.
Peranti ini lebih kepada mereka yang mahukan kemampuan gaming tetapi peranti masih kelihatan normal untuk penggunaan biasa. Walaupun begitu, jika anda tidak sabar untuk mencuba peranti mercu Android dengan Snapdragon 8 Elite – realme GT7 Pro adalah yang pertama di Malaysia. Dengar khabar peranti pesaing nanti akan menggunakan Dimensity 9400 atau harga jualannya menghampiri RM4000. Jadi, jika mahu menjadi yang terawal dan terjamin untuk 4 tahun – GT7 Pro adalah peranti untuk anda.
PRO & Kelebihan
- Rekaan yang semakin premium dan gah.
- realme UI 6.0 yang semakin lancar dan pantas.
- Teknologi kamera HYPERIMAGE+ yang mirip Hasselblad.
- Prestasi pantas dan hebat di luar jangkaan.
- Skrin yang cantik, pantas, adaptif dan berkualiti.
- Bateri yang tahan lama dan pengecasan pantas.
- Perlindungan IP68/IP69
- Ciri AI yang menarik.
KONTRA & Kekurangan
- Kemas kini hanya 4+5 tahun.
- Tiada pengecasan nirwayar/Qi2.
- Skrin ada HDR10+ tetapi Netflix tidak menyokongnya.
- Harga yang agak mahal berbanding peranti realme terdahulu.
