Pada pelbagai penawaran perkhidmatan berasaskan kecerdasan buatan, salah satu perkara yang memainkan peranan utama adalah model bahasa raya (LLM) yang menguasakannya. Di Malaysia sendiri, terdapat beberapa pembangun yang membangunkan model bahasa raya tersendiri, termasuk salah satunya adalah Mesolitica.
Terbaru, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkongsi mengatakan akan mengambil langkah proaktif dan meneliti pembangunan model bahasa raya tersendiri dalam bahasa Melayu. Ini juga dijangka akan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi dari luar negara disamping mengambil kira nilai dan budaya setempat dalam pembangunannya.
Pembangunan model bahasa raya berkenaan akan memperlihatkan kerjasama antara MOSTI, universiti dan juga syarikat tempatan. Ia dikatakan MOSTI, MIMOS dengan Mesolitica akan bekerjasama dalam menambah-baik model bahasa raya, dan turut dijangka akan melibatkan DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) pada masa hadapan.
Mesolitica pada hari ini sedia menawarkan model bahasa raya mereka tersendiri dinamakan MaLLaM, yang sedia dilatih menggunakan pelbagai dataset tempatan, dan ditawarkan secara terbuka kepada umum. Model ini sendiri sedia menawarkan sokongan integrasi nilai dan budaya tempatan. Berkemungkinan kita akan melihat kerjasama ini menambah-baik model bahasa raya ini untuk kegunaan tempatan lebih meluas.