Carian
Kajian Mendapati Internet Berkelajuan Tinggi Menyebabkan Obesiti
November 18, 2024 Effi Saharudin

Kajian terkini daripada penyelidik di Australia menemui perkaitan antara internet berkelajuan tinggi dan peningkatan masalah obesiti di negara tersebut. Penyelidik dari University of Melbourne, RMIT University dan Monash University mengatakan dengan setiap peningkatan 1% penggunaan rangkaian jalur lebar kebangsaan, kadar obesiti meningkat 6.6% dengan BMI pula meningkat 1.57 kg/m2.

Internet berkelajuan tinggi menyebabkan kehidupan pengguna menjadi semakin sedentari. Kegemukan berlaku kerana mereka tidak lagi memenuhi keperluan minima aktiviti fizikal yang disarankan oleh WHO. Semakin lama seseorang menghabiskan masa di atas talian, kadar metabolik mereka akan berkurangan. Mereka juga didapati mengamalkan diet makanan ringan yang kurang sihat sepanjang masa menggunakan komputer.

Aktiviti melawat saudara mara atau membeli belah juga berkurangan disebabkan penggunaan media sosial serta pembelian menerusi platform edagang. Data kajian diambil daripada tinjauan Isi Rumah, Pendapatan dan Dinamik Buruh di Australia (HILDA), meliputi tempoh 2006-2019. Kajian telah diterbitkan dalam jurnal Economics & Human Biology.

Komen