Google pada hari ini mempunyai beberapa sistem dibawah mereka, dan yang popular adalah Android yang digunakan untuk sejumlah peranti pintar dan mudah-alih, disamping Chrome OS yang digunakan pada komputer riba dengan fokus memberikan pengalaman penggunaan pelayar web dan sistem operasi desktop.
Terbaru, melalui Android Authority, ia dilaporkan Google sedang membangunkan sebuah projek yang mungkin mengambil masa bertahun, dalam mengubah Chrome OS kepada Android. Salah satu fokus utamanya dijangka adalah dalam memperkaya pengalaman pada tablet, sekaligus bersaing dengan penawaran iPad.
Google sendiri telah mengemaskini latar pembangunan sistem operasi Android baru-baru ini, disamping mula mengintegrasikan sejumlah ciri-ciri seumpama terdapat di desktop ke dalam Android, termasuk sokongan terminal. Sementara pada Chrome OS pula, Google telah mula mengintegrasikan sejumlah komponen daripada sistem operasi Android. Berbanding penyatuan kedua-dua sistem sebelum ini, kini ia dilihat Google mengambil langkah untuk beralih kepada hanya Android dalam memudahkan pelbagai perkara, termasuk bersaing dalam arena tablet.
Langkah penyatuan kedua-dua sistem ini dijangka akan menjimatkan sumber tenaga yang digunakan oleh Google dalam pembangunan sistem operasi. Pengenalan pelbagai ciri baharu, termasuk integrasi model kecerdasan buatan juga akan lebih mudah dengan fokus pada satu sistem. Namun, tidak diketahui lagi berkenaan masa depan jenama Chromebook sekiranya peralihan ini berlaku. Pada masa yang sama, selain untuk Google, perkara ini juga akan memudahkan para pembangun membangunkan aplikasi dan penawaran masing-masing, sekaligus menyasarkan kumpulan penggun yang lebih besar.