Carian
Platform Penstriman Max Kini Boleh Diakses Pengguna Malaysia – Bermula RM34.90 Sebulan
November 19, 2024 Aman

Hari ini, satu lagi perkhidmatan penstriman video telah memasuki pasaran Malaysia, iaitu Max, menggantikan penawaran HBO Go sebelum ini. Melaluinya, ia menawarkan rancangan daripada jenama popular seperti HBO, Harry Potter, DC Universe, Cartoon Network, Warner Bros, Discovery, dan yang lain.

Seperti pada Netflix, pengguna boleh mencipta sehingga lima profil untuk setiap langganan, menonton pada pelbagai peranti pada sesuatu masa, dioptimasikan untuk kanak-kanak, dan hadir dengan pilihan penstriman 4K melaluinya. Aplikasi sudah boleh dimuat turun pada platform Android, iOS, iPadOS, Android TV, Samsung Tizen dan tvOS pada hari ini di Malaysia. Serentak dengan pelancaran Max pagi ini, aplikasi HBO Go tidak lagi berfungsi dengan ia menyarankan pengguna memuat turun aplikasi baharu.

Sebanyak dua pelan ditawarkan, dimana pelan asas Max Standard berharga RM34.90 sebulan yang menawarkan sokongan penstriman pada kadar HD penuh di dua peranti pada sesuatu masa. Pelan Max Ultimate pula berharga RM52.90 sebulan yang membolehkan video distrim di 4 peranti serentak, dan menawarkan sokongan 4K UHD dan Dolby Atmos.

Pelan tahunan juga disediakan dengan penjimatan tambahan, masing-masing pada harga RM279.90 setahun atau RM424.90 setahun. Ia menawarkan penjimatan sehingga 33% setahun berbanding bayaran secara bulanan. Pihak Max turut menyediakan pelan langganan mudah-alih, namun terhad melalui beberapa rakan kerjasama mereka.

Pelanggan HBO Go boleh menggunakan Max secara terus hari ini dengan melakukan log masuk menerusi emel dan kata laluan lama tanpa perlu melakukan langganan baharu. Bagi anda yang berminat, boleh menyemak laman Max hari ini yang menggantikan HBO Go.

Komen