Telegram Perkenal Kemaskini Dengan Fokus Terhadap Aplikasi Mini
Aman
Telegram Messenger, salah satu perkhidmatan permesejan popular, hari ini mengumumkan kemaskini 2.0 untuk penawaran aplikasi mini, sekaligus menyertakan sejumlah pembaharuan dan fungsi baharu yang boleh digunakan oleh pembangun dan pengguna aplikasi mini dalam Telegram.
Bagi yang tidak mengenali akan aplikasi mini, ia merupakan salah satu bentuk perkhidmatan atau penawaran yang dibina dibawah ekosistem Telegram – termasuk seperti permainan, tekaria, dan sebagainya.

Melalui kemaskini Telegram baharu, aplikasi mini kini boleh dijalankan pada paparan skrin penuh, memberikan pengguna pengalaman seumpama menggunakan aplikasi biasa. Disamping itu, aplikasi mini turut boleh mengakses beberapa ciri perkakasan, seperti kawalan gyro dan sebagainya. Pembangun juga turut boleh mengintegrasikan sokongan terima bayaran atau ganjaran, dan menjana duit melalui penawaran mereka.
Akhir sekali, kini pengguna turut boleh menyimpan aplikasi mini Telegram pada skrin utama peranti, lebih kurang seperti sebuah aplikasi sendiri – dan melakukan akses pantas kepada aplikasi mini berkenaan terus daripada peranti.
Pengguna Telegram boleh mengemaskini aplikasi anda hari ini, dan menikmati sejumlah pembaharuan pada aplikasi mini yang dibawakan oleh Telegram ini.