Sehingga 1.8 Juta Pekerja Di Malaysia Akan Terkesan Disebabkan Teknologi AI, Digital dan Hijau
Effi Saharudin
Apakah impak penggunaan kecerdasan buatan (AI), digital dan teknologi hijau di Malaysia? Jawapannya dapat dilihat dalam laporan kajian yang dilakukan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan TalentCorp. Laporan mendapati seramai 1.8 juta pekerja akan terkesan disebabkan oleh pengenalan teknologi ini dalam masa tiga hingga lima tahun.

Jika hanya pekerja yang mengalami impak serius sahaja diambil kira, jumlah ini berkurangan ke 620,000 pekerja. Laporan meletakkan pekerja dalam tiga kategori. Kategori pertama mengalami impak paling tinggi sehingga kehilangan kerja memerlukan latihan semula. Kategori kedua ialah yang mengalami impak sederhana yang perlu mengembang dan meningkatkan kemahiran bagi menyampaikan melebihi apa yang biasanya diperlukan oleh kerja. Kategori terakhir pula ialah yang tidak terkesan dengan teruk dan sekadar memerlukan peningkatan diri yang berterusan untuk kekal relevan.
Kajian dilakukan melibatkan pekerja sektor ICT, Pembuatan dan Perkhidmatan Makanan, Pengilangan Farmaseutikal, Peranti Perubatan, Aeroangkasa, Elektrik dan Elektronik, Borong dan Perdagangan Runcit, Tenaga dan Kuasa, Kimia dan Perkhidmatan Perniagaan Global.

Secara kolektif industri di atas menyumbang sekitar 60% daripada KDNK kasar 2023, berjumlah RM933
bilion, dan menggaji 31% daripada pekerja mahir Malaysia dan tenaga kerja separuh mahir, bersamaan dengan lebih kurang 3.5 juta individu. Menurut data terkini OpenDOSM, Malaysia kini mempunyai 16 juta pekerja dalam tenaga buruh Malaysia, terdiri daripada majikan, pekerja, pekerja bekerja sendiri ( pekerja tidak formal), dan pekerja keluarga tidak bergaji.
Walaupun pengenalan teknologi AI, digital dan hijau mendatangkan impak ke atas 1.8 juta pekerja laporan turut mengenalpasti 60 pekerjaan baharu yang diwujudkan olehnya. Ini adalah 43 pekerjaan dalam sektor A dan digital seperti jurutera dan ahli sains data. Sebanyak 11 lagi pekerjaan wujud dalam sektor hijau seperti pakar kelestarian serta ahli ekonomi tenaga. Akhir sekali 6 pekerjaan wujud dalam sektor teknologi baharu seperti operator jarak jauh.

Bagi mengurangkan impak ke atas sektor pekerjaan laporan yang sama memberikan saranan supaya kerajaan memberikan sokongan kewangan untuk latihan semula pekerja, insentif melakukan penyelidikan & pembangunan dan menggunakan prasarana sedia ada sebagai pusat latihan industri.
Pemain industri pula perlu memberikan latihan dalam organisasi, mewujudkan strategi mengekalkan tenaga kerja, dan memperkuatkan kerjasama dipandu oleh industri. Seterusnya sektor pendidikan pula perlu menghasilkan kurikulum baharu dan memanjangkan tempoh latihan industri. Akhir sekali pengendali program latihan pula perlu membangunkan program latihan kelayakan-mikro dan meningkatkan jumlah pelatih.
Laporan penuh Kajian Impak daripada Kecerdasan Buatan, Digital, dan Ekonomi Hijau pada Tenaga Kerja Malaysia boleh dimuat turun menerusi pautan ini.