ASUS baru sahaja melancarkan siri peranti pintar gaming terbaru mereka, siri ASUS ROG Phone 9 yang terdiri daripada tiga model, iaitu ASUS ROG Phone 9, ASUS ROG Phone 9 Pro dan ASUS ROG Phone 9 Pro Edition.
Kesemua peranti-peranti ini hadir dengan spesifikasi yang hampir sama, dimana ia hadir dengan paparan skrin 7.68 inci dengan resolusi 2400×1080 yang sama, dengan kadar segar semula setinggi 185Hz dengan nilai kecerahan High Brightness Mode 1600 nit. Dikuasakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite, ia juga hadir dengan piilhan memori 12GB sehingga 24GB dan storan UFS 4.0 sehingga 1TB bergantung kepada model.
ASUS Malaysia juga baru-baru ini telah mengesahkan kepada kami bahawa siri ASUS ROG Phone 9 akan memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi. Kami menjangkakan bahawa mereka akan membawa masuk ketiga-tiga model yang ditawarkan sama seperti apa yang dilakukan dengan model ASUS ROG Phone 8 sebelum ini.
Jangkaan kami ialah konfigurasi peranti yang ditawarkan juga adalah sama seperti apa yang diumumkan secara global sebentar tadi, dengan kemungkinan hanya satu daripada dua model ASUS ROG Phone 9 asas akan dijual di pasaran tempatan.
Pihak ASUS Malaysia juga tidak memberitahu kami bilakah peranti ini akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan, tetapi telah menjanjikan kepada kami bahawa ia akan tiba “tidak lama lagi“. Dari segi tanda harga pula, jika melihat kepada penawaran harga global, ia dijangka bahawa siri ASUS ROG Phone 9 akan sekali lagi ditawarkan pada harga yang cukup bangsawan, khususnya apabila ASUS ROG Phone 9 Pro Edition dijual pada harga 1500 Euro atau sekitar RM7100.