Program DE Rantau Anjuran MDEC Memperlihatkan Peningkatan Perantau Digital Di Malaysia
Nazrin
Pada tahun lepas, MDEC telah memperkenalkan inisiatif DE Nomad dimana mereka menganggarkan bahawa menjelang 2025, seramai 80 ribu perantau digital akan ke Malaysia untuk bekerja dan juga bercuti pada masa yang sama.
Dengan ini, pada bulan Ogos tahun lepas, Airbnb telah bekerjasama dengan MDEC untuk memperkenalkan pemerkasaan inisiatif DE Rantau dengan penawaran lokasi tempat tinggal jangka-masa panjang.

Sewaktu acara Embracing the Future of Travel, Catalyzing Tourism Growth dimana Airbnb memperlihatkan peningkatan dalam jumlah tempahan bilik, pihak MDEC juga mengatakan bahawa permohonan pas perantau digital tersebut juga telah meningkat sebanyak dua kali sejak ia diperkenalkan tahun lepas. Kira-kira 100 permohonan dirakam pada tahun lepas, dan untuk separuh pertama tahun ini, angka tersebut telah meningkat sehingga 200.
Hampir separuh daripada permohonan ini juga nampaknya telah memperlihatkan perantau digital ini membawa keluarga mereka ke Malaysia untuk bekerja di sini secara sementara, menggabungkannya juga dengan percutian bersama yang tersayang

.
Airbnb mengatakan bahawa sehingga kini, mereka mempunyai sekitar 800 tempat penginapan yang didaftar dibawah program DE Rantau ini di lokasi-lokasi seperti Kuala Lumpur, bandar Melaka, Johor Bahru, Ipoh dan George Town dengan pilihan sewa 3-4 malam sehinggalah seminggu, bergantung kepada keperluan perantau.
Dalam pada itu, pihak kerajaan, dengan bantuan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga nampaknya sedang membangunkan garis panduan untuk perjanjian sewa jangka pendek untuk memudahkan pihak kerajaan tempatan untuk menetapkan peraturan dan undang-undang untuk sewa jangka masa pendek ini.