Data Pemain Pokemon Go Digunakan Niantic Untuk Melatih Model Geospatial Raya
Effi Saharudin
Niantic mengumumkan mereka sedang menghasilkan Model Geospatial Raya (LGM) menggunakan data pemain Pokemon Go dan Ingress. Imbasan gambar sekeliling yang diambil oleh jutaan pemain menggunakan telefon pintar akan melatih kecerdasan buatan (AI) yang memahami visual dan lokasi dalam sebuah peta 3D.

LGM dilatih menggunakan 50 rangkaian neural,150 trilion parameter, dan imbasan di 10 juta lokasi di seluruh dunia. Ia menjadi asas kepada sistem Visual Positioning System (VPS) yang dibangunkan oleh Niantic sejak lima tahun yang lalu dengan ia kini mempunai ketepatan pada skala sentimeter
VPS boleh mengetahui lokasi dengan hanya menggunakan sekeping gambar 2D. Kesemua data pemain yang dikumpul selama ini menyumbang kepada sistem pemetaan 3D yang lengkap kerana ia turut menangkap kawasan yang tidak boleh diakses oleh kenderaan.
LGM akan membolehkan komputer melihat dan memahami ruang fizikal, tetapi juga untuk berinteraksi menerusi cermin mata AR, sistem robotik dan sistem autonomi. Dengan ini sebuah sistem operasi dengan kecerdasan spatial dapat digunakan dalam masa terdekat.