Carian
Ulasan Ergoworks Truly Perfect Chair V2 – Alah Membeli, Selesa Memakai
December 9, 2024 Nazrin

Salah satu perkara terakhir yang akan difikirkan mengenai keselesaan ruangan produktiviti ialah berkaitan kerusi. Jika anda di rumah, tidak mengejutkan sekiranya anda akan mahu membeli sebuah “kerusi gaming” yang dilihat gah dan difikirkan selesa.

Akan tetapi walaupun kerusi-kerusi ini memperlihatkan rekaan besar yang dilihat sebagai selesa, untuk sesiapa yang pekerjaannya melihat mereka duduk di kerusi pejabat selama 6-8 jam setiap hari, selain daripada keselesaan, satu lagi aspek yang perlu dititikberatkan ialah postur supaya anda tidak menghadapi sakit belakang kerana duduk terlalu lama.

Oleh kerana itu, apabila Ergoworks bertanyakan jika kami berminat untuk mengulas kerusi ergonomik mereka, kami tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat apakah yang lain mengenai kerusi ini, khususnya apabila dibandingkan dengan kerusi-kerusi gaming di pasaran.

Nyahkotak Dan Pemasangan

Kerusi yang dihantar kepada kami ialah kerusi Ergoworks Truly Perfect Chair v2. Setelah anda membeli kerusi ini, anda mempunyai pilihan untuk meminta kerusi ini dihantar ke rumah atau pejabat anda, dan meminta untuk pihak Ergoworks memasangnya untuk anda.

Anda boleh memilih untuk memasangnya sendiri, dan ini apa yang saya lakukan untuk kerusi saya. Akan tetapi, jika diberi pilihan sekali lagi, saya akan meminta untuk pihak Ergoworks memasang kerusi ini untuk saya kerana terdapat beberapa bahagian kerusi ini yang agak sukar untuk dipasang sendiri tanpa bantuan rakan.

Menyelarikan lubang-lubang skru pada kerusi ini, khususnya pada bahagian gabungan letak belakang dan tempat duduk dan juga bahagian merehatkan tangan bagi saya agak sukar tanpa bantuan seorang rakan.

Walaupun begitu, pemasangan kerusi ini tidak jauh berbeza dengan pemasangan sebuah kerusi gaming yang pernah kami bina sebelum ini. Cuma amaran kami ialah oleh kerana rangka kerusi ini diperbuat daripada bahan-bahan premium, kami menyarankan anda berhati-hati apabila mengeluarkan bahagian-bahagian kerusi ini daripada kotak.

Rekaan

Perkara pertama yang membezakan kerusi Ergoworks Truly Perfect Chair ini, apabila dibandingkan dengan kerusi gaming pastinya dari segi rekaan kerusi ini. Jika kerusi gaming banyak rata-rata menggunakan rekaan bucket seat dengan kusyen, untuk kerusi Ergoworks ini, ia menggunakan bahan mesh untuk tempat duduk dan rehat belakang yang lebih menyokong bentuk semulajadi belakang anda untuk posisi duduk yang lebih selesa.

Dalam pada itu, penggunaan mesh juga membantu dalam pengudaraan semasa duduk. Apabila anda duduk diatas sebuah kerusi gaming, ya ia rasa cukup selesa sekali. Akan tetapi, setelah beberapa ketika, punggung dan belakang anda akan rasa panas, dan meruap, dan ini menyebabkan kerusi tersebut rasa tidak selesa.

Berbeza pengalaman saya duduk diatas kerusi Ergoworks Truly Perfect Chair ini, penggunaan bahan mesh memastikan bahawa tempat duduk dan rehat belakang sentiasa kekal segar dan tidak kepam ataupun panas walaupun setelah duduk selama berjam-jam lamanya.

Dalam pada itu, jika anda risau bahawa kerusi ini terlalu kecil untuk anda, pihak Ergoworks juga telah mengesahkan bahawa kerusi Truly Perfect Chair ini sesuai untuk pengguna-pengguna dengan ketinggian diantara 150cm ke 180cm dan berat dari 40kg sehinggalah 130kg. Dan ya sekiranya anda berbadan besar, anda boleh memasang tempat rehat tangan ke kedudukan yang lebih ke luar atau mengubahsuai kedudukan tempat letak tangan untuk memuatkan punggung anda ke tempat duduk kerusi ini.

Kerusi ini juga direka menggunakan mekanisma kerusi Donati yang menjanjikan jangka hayat penggunaan yang cukup lama sekali. Tidak kira betapa banyak kali sekalipun anda mengubahsuai kedudukan kerusi anda, tidak kira tempat duduk, tempat rehat belakang, tempat rehat kepala mahupun tangan dan juga ketinggian kerusi, Ergoworks menjanjikan kualiti yang tahan lasak untuk jangka masa panjang.

Pengalaman Pengguna

Setelah memasang kerusi Truly Perfect Chair v2 ini, perkara pertama yang anda akan mahu biasakan dengannya ialah fungsi setiap pelaras yang diperlihatkan pada kerusi ini. Dengan kerusi ini, anda bukan sahaja boleh mengubahsuai ketinggian tempat duduk dan tempat rehat belakang, tetapi mengubahsuai bahagian tempat duduk dari segi kedudukannya daripada bahagian lumbar dan juga kedudukan peha.

Kebolehan mengubah posisi tempat duduk ataupun punggung adalah sesuatu yang secara lazimnya hanya unik kepada kerusi ergonomik dan ini adalah penting kerana bahagian lumbar (tulang belakang) setiap individu adalah berbeza.

Anda akan mahu mengambil masa untuk mengubahsuai kerusi ini mengikut keselesaan anda sendiri kerana kerusi ini direka khusus untuk bukan sahaja memberikan anda keselesaan yang terbaik, tetapi untuk memastikan anda mempunyai postur duduk yang akan menyelamatkan belakang anda dalam jangka masa panjang, khususnya apabila anda duduk untuk jangkamasa yang lama setiap hari.

Ya, tanda harga kerusi Truly Perfect Chair ini dilihat sangat mahal sekali, tetapi ia juga hadir dengan waranti selama 12 tahun selepas pembelian, yang mana pihak Ergoworks akan menggantikannya sekiranya terdapat sebarang isu kerosakan yang diperlihatkan pada rangka kerusi ini. Kebanyakan kerusi gaming secara lazimnya akan memperlihatkan waranti selama satu atau dua tahun sahaja, dan itu pon, bergantung kepada jenama kerusi, hanya akan menawarkan pertukaran bahagian-bahagian tertentu.

Dan ya, saya akan katakan sekali lagi bahawa penggunaan bahan mesh pada tempat duduk dan bahagian belakang kerusi ini membantu anda tidak rasa kepam apabila duduk untuk satu masa yang lama. Malah, kerusi ini cukup selesa dimana saya boleh tertidur sementara diatasnya apabila saya melenturkan sedikit tempat rehat ke belakang.

Dalam pengalaman saya sendiri, saya menggodek semua ciri-ciri pada kerusi ini, dan menyesuaikannya kepada keselesaan saya dalam masa kurang dari satu jam. Mungkin jika anda membeli kerusi ini, nasihat saya ialah untuk anda melihat sendiri kerusi ini terlebih dahulu, dan menggunakan dan bertanya sendiri kepada pekedai tentang apa yang anda mahu tahu mengenai kerusi-kerusi ergonomik mereka.

Ini adalah untuk membolehkan anda membuat keputusan yang tepat dan melihat dan merasa sendiri perbezaan menggunakan kerusi ergonomik ini, berbanding kerusi pejabat ataupun kerusi gaming yang lain. Jika anda berminat, anda boleh ke kedai fizikal Ergoworks Malaysia yang terletak di IOI City Mall, Putrajaya ataupun Pavilion Bukit Jalil untuk merasa sendiri pengalaman duduk diatas kerusi kelas bangsawan ini.

Penutup

Pada harga RM4429, anda mungkin tertanya-tanya jika ia benar-benar berbaloi untuk membelanjakan jumlah wang yang banyak untuk sebuah kerusi yang mempunyai tanda harga sebuah peranti pintar moden.

Tetapi jika anda fikirkannya kembali, ramai dari kita (seperti saya) bekerja didalam pejabat sepanjang hari dan duduk sepanjang masa. Dari segi kesihatan jangka masa panjang, kedudukan duduk untuk jangka masa lama ini sebenarnya tidak begitu baik untuk kita, khususnya apabila kita sentiasa membongkok untuk melakukan kerja.

Saya tidak nafikan bahawa kerusi Ergoworks Truly Perfect Chair V2 ini hadir dengan tanda harga yang sangat menggerunkan, tetapi setelah menggunakannya untuk beberapa minggu, ia telah membuatkan saya berfikir tentang apakah yang benar-benar dimaksudkan dengan kerusi yang selesa dan baik untuk anda.

Pro:

  • Penghantaran ke rumah dan pemasangan percuma
  • Pengalaman duduk yang selesa dan berudara
  • Piihan penyesuaian tempat duduk yang meluas
  • Pembeli boleh melihat dan merasai sendiri kerusi terlebih dahulu sebelum membeli
  • Waranti 12 tahun

Kontra:

  • Tanda harga premium
  • Pemasangan yang sedikit renyah
  • Perlu meluangkan masa membiasakan diri dengan duduk di atas kerusi ini dalam postur semulajadi
Komen