Perang perdagangan diantara Amerika Syarikat dan China nampaknya akan semakin teruk, dimana ia telah dilaporkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat, melalui US Chamber of Commerce akan memperkenalkan sekatan perdagangan baru terhadap 200 syarikat pembuat cip semikonduktor China.
Perkara ini termasuklah larangan mengeksport komponen teknologi terpilih dan produk-produk siap pasang ke syarikat-syarikat pembangun teknologi di China. Syarikat-syarikat Amerika seperti AMD, Intel dan NVIDIA yang terkenal untuk penawaran cip pemprosesan berkuasa mereka, khususnya dalam sektor AI rata-rata dilarang menjual komponen ataupun produk-produk terbaru mereka ke syarikat-syarikat teknologi di negara itu.
Dalam pada itu, ia juga perlu dilihat bahawa China kini sedang membangunkan teknologi pengeluaran cip semikonduktor mereka sendiri, walaupun banyak laporan mereka mengatakan bahawa mereka akan menghadapi kesukaran dalam mengeluarkan cip semikonduktor dibawah 7nm kerana ketiadaan kelengkapan EUV (Extreme Ultra Violet) litography yang diperlukan untuk mengukir corak-corak yang diperlukan untuk membina sebuah cip semikonduktor.
Tambahan kepada sekatan perdagangan terbaru ini, kerajaan Amerika Syarikat juga telah menetapkan bahawa komponen cip High Bandwidth Memory (HBM) juga akan dimasukkan dalam senarai komponen yang tidak dibenarkan untuk didagangkan kepada syarikat-syarikat teknologi di China.
Ini dilihat sebagai satu lagi cara untuk menyekat kemaraan kerajaan China dalam membangunkan teknologi kecerdasan buatan mereka sendiri, yang mana pihak kerajaan Amerika Syarikat selama ini katakan ialah suatu ancaman kepada rakyat negara mereka.