Penuras Mencantikkan Muka Tidak Lagi Boleh Diakses Pengguna TikTok Bawah 18 Tahun
Effi Saharudin
TikTok akan mengharamkan pengguna yang berusia bawah 18 tahun daripada menggunakan penuras (filter) yang mencantikkan wajah dalam masa beberapa minggu sahaja lagi menurut laporan The Guardian. Pengumuman dilakukan dalam sebuah forum keselamatan yang dianjurkan TikTok di ibu pejabat mereka di Ireland.

Pengguna bawah tahun tidak lagi boleh mengakses penuras yang mencantikkan wajah, membesarkan mata, menjadikan bibir lebih mulus dan menjadikan kulit muka lebih licin. Ini adalah bagi mengurangkan impak ke atas remaja yang didapati terkesan dengan penggunaan penuras yang berpanjangan. Wujud laporan pengguna bawah umur yang merasakan wajah sebenar mereka buruk disebabkan terlalu kerap menggunakan penuras kecantikan.
Penuras lain yang digunakan untuk menghasilkan kandungan jenaka atau trend semasa masih lagi boleh digunakan seperti biasa. Pada waktu yang sama TikTok akan mula mengharamkan pengguna yang berusia bawah 13 tahun. Sistem kecerdasan buatan (AI) akan digunakan untuk mengesan sama ada pengguna berbohong mengenai usia. Langkah ini dipercayai diambil bagi mematuhi beberapa RUU yang diperkenalkan di Eropah yang mengharamkan data pengguna di bawah usia tertentu dikumpul oleh platform media sosial.