Fon Telinga Sony LinkBuds Fit Dan LinkBuds Open Kini Boleh Dibeli Di Malaysia
Amy Maizuraa
Sony LinkBuds Fit dan LinkBuds Open telah dilancarkan secara rasminya pada Oktober yang lalu. Kedua-duanya merupakan fon telinga nirwayar yang diberi penambahbaikan kualiti untuk terus seiring dengan peredaran zaman.

Anda yang ingin mendapatkan kedua-dua fon telinga berkenaan boleh membelinya bermula hari ini dengan harga RM999 setiap satu. Sebarang pembelian turut diberikan hadiah eksklusif bernilai RM200 termasuk Earbuds Supporter (bernilai RM49), Case Cover (RM99) dan Gym Bottle Limited sehingga 31 Disember 2024. Promosi bagaimanapun adalah tertakluk kepada konsep sementara stok masih ada.

Versi baharu LinkBuds Open menggunakan rekaan lebih kecil dengan pemandu audio bersaiz 11mm. Selain itu mempunyai rekaan ‘sayap’ dipanggil sebagai ”Air Fitting Supporters” bertujuan untuk mengurangkan tekanan pada telinga sewaktu dipakai. Tambatan pantas boleh dibuat melalui Bluetooth 5.3 yang juga menawarkan sambungan berbilang peranti.
Sementara itu codec yang disokong pula ialah SBC, AAC dan LC3. Dengan keupayaan kawalan suara yang kini terbina di dalam LinkBuds Open pula membolehkan pengguna melaras audio, melangkau trek dan menukar mod ANC tanpa perlu meminta Siri atau Google Assistant untuk berbuat demikian. Bateri disertakan boleh berfungsi sehingga 22 jam dengan bantuan pod pengecas.

LinkBuds Fit baharu pula mempunyai rekaan bersayap untuk keselesaan yang berpanjangan. Selain itu dilengkapi dengan Dynamic Driver X dan cip V2 daripada fon telinga premium Sony untuk kualiti bunyi lebih baik. Di samping turut menyokong kedua-dua mod ANC dan ambien. Tambatan pantas boleh dibuat menerusi bluetooth 5.3 bersama sokongan codec SBC, AAC, LC3 dan LDAC. Bateri disertakan boleh berfungsi sehingga 20 jam dengan bantuan pod pengecas.
[sumber] Sony Malaysia [/sumber]