Ulasan Samsung Galaxy S24 FE – Peranti Galaxy AI Mampu Milik
Effi Saharudin
Siri Samsung Galaxy S24 telah dilancarkan pada awal tahun lalu dengan harga yang agak kurang mampu milik. Seperti biasa untuk H2, Samsung akan menawarkan siri Galaxy S FE yang lebih mesra poket. Dengan spesifikasi yang sedikit lebih rendah, adakah masih berbaloi untuk membeli Samsung Galaxy S24 FE tahun ini?

SPESIFIKASI
| Samsung Galaxy S24 FE | |
|---|---|
| Skrin | 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, LTPO FHD+, 120Hz, HDR10+ |
| Pemproses | Exynos 2400e (4nm) |
| Cip | 1 x 3.11 GHz Cortex-X4 2 x 2.9 GHz Cortex-A720 3 x 2.59 GHz Cortex-A720 4 x 1.95 GHz Cortex-A520 |
| Cip Grafik | Xclipse 940 |
| RAM | 8GB LPDDR5X |
| Muatan Dalaman | 256 /512 UFS 4.0 |
| Kamera Utama | 50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 8MP f/2.4, OIS (Telefoto 3X) |
| Kamera Swafoto | 10 Megapixel f/2.4 |
| Bateri | 4700 mAh Pengecasan berwayar 25W Pengecasan nirwayar 15W |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP68 |
| Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin |
| Harga Jualan | RM 3299 (8/256GB) RM 3899 (8/512GB) |
SKRIN
Skrin sebesar 6.7″ FHD+ Dynamic AMOLED 2X menyokong kadar segara 120Hz LTPO yang sama saiznya dengan S24+ tetapi dengan resolusi FHD+ sahaja. Sekilas pandang perbezaan resolusi antara kedua-dua skrin peranti adalah tidak ketara. Bezel masih lagi agak nipis dengan permukaan skrin yang rata. Panel Samsung cukup terang di bawah cahaya matahari yang terbit serta responsif apabila digunakan.

Penghasilan warna adalah memuaskan dengan paparan HDR daripada aplikasi Max, Prime Video, Netfix dan YouTube dapat dipaparkan dengan baik. Satu ciri yang tidak diberikan ialah lapisan anti silau yang masih lagi eksklusif untuk S24 Ultra dan siri tablet Tab S10. Yang diberikan ialah skrin Gorilla Glass Victus+ yang cukup tahan lasak.
Sistem haptik adalah memuaskan tetapi bukan yang terbaik dalam kelasnya. Kemampuan haptik peranti Samsung adalah sedikit ketinggalan jika dibandingkan dengan yang ditawarkan Apple dan Oppo tahun ini.
BIOMETRI

Pengimbas cap jari bawah skrin adalah dari jenis optikal yang masih lagi agak pantas. Ini adalah perubahan besar kerana pada tiga peranti S24 sebelum ini, pengimbas cap jari ultrasonik digunakan. Sistem imbasan wajah masih lagi diberikan dengan ia berfungsi dengan cukup baik.
REKAAN
Rekaan S24 FE adalah sama dengan Galaxy S24+ dan juga Galaxy A55. Tahun ini Samsung menggunakan satu rekaan pada lebih daripada satu peranti sehingga saya sukar membezakannya dengan sekali pandang. Bingkai tubuh adalah daripada aluminium biasa sahaja dan bukannya Armor Aluminium yang tahan lasak. Bahagian sisi adalah rata namun masih lagi selesa di dalam genggaman tangan. Di belakang terdapat panel kaca yang memerangkap kotoran dengan agak mudah.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan laras audio yang diperbuat daripada logam. Butang selesa ditekan dan nampak teguh. Port pengecasan USB-C, kekisi audio dan talam SIM diletakkan di bahagian bawah peranti. Peranti turut dilengkapi sistem audio stereo bagi memberikan pengalaman audio yang seimbang.
Tiga kamera di belakang disusun secara menegak dengan ia terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 12MP dan telefoto 8MP. Perbezaan sistem kamera ini dengan Galaxy S24+ ialah lensa telefoto adalah lebih besar iaitu 10MP. Perubahan juga dilakukan pada kamera swafoto 10MP yang lebih kecil berbanding 12MP pada Galaxy S24+. Antara cara mengurangkan kos yang dilakukan Samsung pada model FE tahun ini ialah mengubah spesifikasi kamera.

Walaupun bonggol kamera tidak begitu tinggi, ia masih menyebabkan kamera tidak boleh diletakkan rata di atas meja. Samsung tidak memberikan kerangka dengan setiap pembelian maka anda perlu membeli kerangka sendiri untuk memberikan pertahanan pada tubuh dan membolehkan peranti diletakkan rata di atas permukaan meja.
Peranti juga masih melepasi piawaian kalis air dan debu IP68 yang adalah perlu bagi sebuah peranti mercu. Samsung juga memberikan sokongan NFC tetapi tiada bicu audio, sokongan mikro SD atau pemancar infra merah.

Penggunaan dan Perisian
Sistem operasi One UI 6.1.1 berasaskan Android 14 digunakan yang sama dengan Z Fold6, Z Flip6 dan siri S24 baru-baru ini. Dari segi rekaan antaramuka ianya ringkas, mudah digunakan dan lancar ketika kami gunakan walaupun untuk tempoh yang agak pendek. Ini tidaklah mengejutkan kerana S24 FE dilengkapi cip Exynos 2400e yang dipadankan dengan memori 8GB RAM.

Pemproses ini adalah versi lebih ekonomi berbanding Exynos 2400 yang digunakan pada Galaxy S24+. Perbezaan ialah 10 teras CPU beroperasi pada kelajuan yang lebih rendah. Harus diakui 8GB RAM adalah kecil bagi sebuah peranti mercu. Untuk mengubati masalah ini ciri RAM Plus boleh menambah 8GB RAM lagi secara maya apabila diperlukan. Kenapa bukan 12GB RAM sahaja diberikan seperti yang dilalukan pesaing Samsung? Ini ialah misteri seperti Segitiga Bermuda yang membuatkan S24 FE kurang kompetitif berbanding pesaing di luar sana.
Persamaan tidak terhad kepada ciri-ciri sistem operasi semata-mata kerana Samsung memberikan sokongan 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti juga pada Galaxy S24 FE. Ini meletakkannya setanding dengan siri S24, Z Fold6 dan Z Flip6.

Galaxy AI sekali lagi diberikan tumpuan dengan terdapat sokongan Sketch to Image, Portrait Studio, Composer, Note Assist, Interpreter dan Circle to Search. Sokongan Galaxy AI secara percuma adalah sehingga penghujung 2025 sahaja. Kesemua ciri Galaxy AI yang diberikan pada peranti Samsung mercu yang lain disertakan pada S24 FE tanpa sebarang perubahan.

PENANDA ARAS – Exynos 2400e
Hanya Samsung Galaxy S24 FE ditawarkan dengan cip Exynos 2400e yang spesifikasinya lebih rendah bernanding Exynos 2400 yang digunakan pada S24 dan S24+. Maka saya bandingkan telefon ini dengan S24 Ultra (Snapdragon 8 Gen 3), Vivo X100 Pro (Dimensity 9300), Oppo Find X8 (Dimensity 9400), Realme GT7 Pro (Snapdragon 8 Elite), Galaxy S24+ (Exynos 2400), iPhone 15 Pro Max (A17 Pro), iPhone 16 Pro Max (A18 Pro), Google Pixel 9 Pro XL (Tensor G4)
AnTuTu 3D
- Exynos 2400e -1,574,170
- Exynos 2400 – 1,643,090
- Snapdragon 8 Elite – 2,642,097
- MediaTek Dimensity 9400 – 2,629,017
- Apple A18 Pro – 1,720,751
- Snapdragon 8 Gen 3 – 2,200,000
- Apple A17 Pro – 1,542,050
- Tensor G4 – 1,016,712
- MediaTek Dimensity 9300 – 1,852,552
Geekbench 6
- Exynos 2400e – 2030/6589
- Exynos 2400 – 1539/6510
- Snapdragon 8 Elite – 2789/9002
- MediaTek Dimensity 9400 – 2663 / 8959
- Apple A18 Pro – 3359 / 8129
- Snapdragon 8 Gen 3 – 2329/7526
- Apple A17 Pro – 2793/6925
- Tensor G4 – 1916/4644
- MediaTek Dimensity 9300 – 2071/5032
Geekbench AI
- Exynos 2400e – 2594/2603/4131
- Exynos 2400 – N/A
- Snapdragon 8 Elite – 2307/2323/3027
- MediaTek Dimensity 9400 – N/A
- Apple A18 Pro – 4516 / 7744 / 6204
- Snapdragon 8 Gen 3 – 1704 / 1829/ 2773
- Apple A17 Pro – 3705 / 6515 / 5696
- Tensor G4 – 2058 / 2017 / 3129
- MediaTek Dimensity 9300 – N/A
3DMark Wild Life Extreme
- Exynos 2400e -2475
- Exynos 2400 – 2813
- Snapdragon 8 Elite – 5,922
- MediaTek Dimensity 9400 – 6251
- Apple A18 Pro – 4560
- Apple A17 Pro – 3746
- Tensor G4 – 2567
- Snapdragon 8 Gen 3 – 4717
- MediaTek Dimensity 9300 – 4067

Markah penanda aras Exynos 2400e tidak setinggi cip mercu seperti A18 Pro, Dimensity 9400 dan Snapdragon 8 Elite. Namun begitu S24 FE beroperasi dengan amat lancar sehingga tiada perbezaan sebenarnya dengan Galaxy S24+ dengan Exynos 2400.
Kelancaran dapat dinikmati ketika melancarkan aplikasi dan juga permua grafik tinggi. Tiada isu pemanasan melampau sekadar suam-suam sahaja apabila menjalankan Genshin Impact, COD Mobile, MLBB, PUBG dan banyak lagi permua lain. Secara keseluruhan pengalaman penggunaan S24 FE adalah setanding dengan penggunaan peranti mercu lain dengan cip yang lebih berkuasa.
KAMERA
Kamera utama menggunakan konfigurasi lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 12MP, telefoto 5X dan telefoto 3x 8MP. Sementara itu di hadapan pula sensor 10MP digunakan pada kamera telefoto. Lensa sudut lebar S24 FE adalah lebih kecil berbanding S24+ yang menggunakan sensor 10MP. Penggunaan sensor yang agak kecil ini mengecewakan kerana pengeluar lain seperti Xiaomi dan Oppo tidak mempunyai masalah memberikan sensor 50MP untuk telefoto.

Kualiti gambar menggunakan lensa sudut lebar adalah baik, nampak tajam, penghasilan warna yang cantik dan mempunyai keperincian yang cukup memuaskan. Setanding dengan gambar yang diambil menggunakan S24+. Apabila berubah ke sudut ultra lebar imej nampak sedikit lembut kerana tiadanya OIS.
Kualiti imej zum juga mempunyai isu yang sama kerana saiz sensor yang kecil. Imej nampak elok sehingga zum 3X sahaja. Melebihi had ini imej mula hilang ketajaman, warna mula pudar dan wujud kesan hingar yang ketara. Kamera boleh melakukan zum sehingga 30X tetapi pada tetapan ini kualiti imej yang diambil adalah kabur.









BATERI
Bateri 4700 mAh peranti boleh bertahan sepanjang hari dengan sekitar 10% tinggal sekitar jam 10 malam sebelum kami tidur. Hayat penggunaan yang memuaskan tetapi tidak sebaik S24+ atau S24 Ultra. Tidak mengejutkan kerana kapasiti bateri S24 FE lebih kecil berbanding dua peranti tadi.

Dalam penggunaan lebih berat seperti menstrim YouTube, peranti dapat bertahan sekitar 7 jam sahaja. Masa untuk mengecas semula bateri ialah 70 minit yang agak perlahan kerana pengecasan hanyalah 25W. Pengecas juga tidak disertakan dalam kotak.
AUDIO
Ada stereo dan ada juga sokongan Dolby Atmos menerusi dua speaker yang salah satunya menembak ke sisi. Audio dengan speaker dalam konfigurasi ini sering kurang seimbang. Speaker adalah lantang dan jelas tanpa sebarang isu kedengaran pecah pada tetapan audio lebih tinggi. Tiada bicu audio tetapi ini ialah norma sejak empat tahun kebelakangan ini.

PESAING
| Samsung Galaxy S24 FE | Realme GT7 Pro | Xiaomi 14T Pro |
| 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, 1080 x 2340, 120Hz, HDR10+ | 6.78″ LTPO OLED, 1264 x 2780, 120Hz, Dolby Vision | 6.67″ AMOLED, 1220 x 2712 144Hz, HDR10+ |
| Exynos 2400e (4nm) 1 x 3.11 GHz Cortex-X4 2 x 2.9 GHz Cortex-A720 3 x 2.59 GHz Cortex-A720 4 x 1.95 GHz Cortex-A520 | Snapdragon 8 Elite (3nm) 2x 4.32 GHz Oryon Prime 6x 3.53 GHz Oryon Performance | Dimensity 9300+ (4nm) 1x 3.25 GHz Cortex-X4 3x 2.85 GHz Cortex-X4 4x 2.0 GHz Cortex-A520 |
| Xclipse 940 | Adreno 830 | Immortalis-G720 MC12 |
| 8GB LPDDR5X | 12GB LPDDR5X | 12GB LPDDR5X |
| 256/512 GB UFS 4.0 | 512GB UFS 4.0 | 256/512/1000 GB UFS 4.0 |
| Kamera Utama 50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Lebar) 8MP f/2.4, OIS, 3x Zum Optikal (Periskop Telefoto) | Kamera Utama 50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Lebar) 50MP f/2.7, OIS, 3x zum optikal (Periskop Telefoto) | Kamera Utama 48MP f/1.6 OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Lebar) 50MP f/2.0 OIS, 3x Zum Optikal (Periskop Telefoto) Lensa Leica |
| Kamera Hadapan 10MP f/2.4 | Kamera Hadapan 16MP f/2.5 | Kamera Hadapan 32-MP f/2.0 |
| IP68 | IP69 | IP68 |
| Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 4700 mAh Berwayar 25W Nirwayar 15W | 6500 mAh Berwayar 120W | 5000 mAh Berwayar 120W Nirwayar 50W |
| RM 3,299 (8/256 GB) RM 3,899 (8/512 GB) | RM3,699 (12/512 GB) | RM 2,599 (12/256 GB) RM 2,999 (12/512 GB) RM 3,499 (12/1000 GB) |
APA ADA DALAM KOTAK?
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Samsung Galaxy S24 FE
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.

KESIMPULAN
Samsung Galaxy S24 FE ialah alternatif lebih murah berbanding tiga model S24 yang dilancarkan pada sekitar 10 bulan lalu. Ianya pantas, skrin cantik, prestasi memuaskan, kemampuan kamera yang boleh tahan dan prestasi bateri yang memuaskan. Pada harga bermula RM3299 ianya mungkin lebih murah berbanding tiga S24 tetapi tidak kompetitif berbanding peranti pesaing.

Realme GT7 Pro dengan Snapdragon 8 Elite dan Xiaomi 14T Pro adalah lebih murah harga jualannya. Masing-masing dengan pemproses lebih berkuasa dan sistem kamera Leica yang jauh lebih baik. Satu-satunya kelebihan S24 FE ialah sokongan perisian 7+7 tahun yang terbaik di pasaran. Jika anda memang mencari telefon yang boleh digunakan sehingga tahun pada harga mampu milik, S24 FE ialah pilihan terbaik daripada Samsung.
Pro
- Rekaan tubuh rata selesa dalam tangan.
- Exynos 2400e ialah pemproses yang masih berkuasa.
- Pelbagai ciri Galaxy AI yang bukan sekadar gimik.
- Sokongan tujuh versi Android dan tujuh tahun tampalan sekuriti.
- Kalis air serta debu IP68.
Kontra
- Pengecasan masih hanya 25W.
- RAM asas hanya 8GB sedang pesaing menawarkan 12GB.
- Rekaan pelanduk dua serupa dengan A55.
