Zaman sekarang, semua yang percuma ada kaveat dan untuk menggunakan sesuatu perkhidmatan kebanyakannya kini menjadi semakin mahal. Disebabkan itu ada sahaja mencari loophole untuk menggunakan sesuatu perkhidmatan dan ada yang terdesak menggunakan kaedah haram. Terbaru, Spotify mula memerangi pengguna yang mengakses perkhidmatan mereka secara haram.
Menurut laporan MySmartPrice, pengguna yang menggunakan aplikasi mod Spotify mula kehilangan akses kepada koleksi lagu-lagu yang telah disimpan. Semua senarai main dan ribuan lagu yang pernah disukai terus dipadam dari akaun pengguna. Bukan itu sahaja, menurut sumber ada aplikasi mod Spotify ini turut menyertakan Trojan untuk menyerang peranti pengguna dan mencuri data-data peribadi.
Di beberapa saluran Telegram, ada pembangun yang menawarkan aplikasi Spotify Mod. Ia adalah aplikasi Spotify biasa yang anda kenali, tetapi boleh menggunakan ciri dan fungsi Premium tanpa melakukan sebarang bayaran. Tidak dinafikan banyak perkhidmatan digital meningkatkan harga langganan, tetapi menggunakan versi cetak rompak hukumnya haram. Adakah akses Spotify ini sangat penting, sehingga anda sanggup data-data peribadi dicuri?