Tablet Tahan Lasak Ini Dilengkapi Projektor dan Lampu Suluh Gergasi
Effi Saharudin
Sedekad lalu terdapat banyak produk hadir dengan inovasi seperti speaker stereo hadapan, kamera infra merah, kemampuan tahan lasak tahap tentera dan aksesori modular. Era berekperimentasi dengan peranti seakan sudah terhenti sejak kebelakangan ini kerana kurangnya sambutan. Di China Tank Pad telah dilancarkan oleh syarikat 8849 dari Shenzen dengan ia menawarkan pelbagai ciri yang tidak lagi berani diberikan oleh pengeluar peranti lain.

Tank Pad ialah tablet tahan lasak yang melepasi piawaian tahan hentakan MIL-STD-810H dan kalis air serta debu IP69K. Yang menjadikannya unik ialah ia turut dilengkapi sebuah projektor mini dan lampu suluh gergasi di bahagian belakang. Projektor mempunyai keterangan 100 lumen sementara lampu suluh pula adalah sehingga 800 lumen.

Peranti turut dilengkapi skrin 10.95″ FHD 120Hz, dijana cip Dimensity 8200, memori 16GB RAM, storan 512GB dan bateri gergasi 21,000-mAh. Menerusi sokongan dwi-SIM tablet menyokong rangkaian 5G. Sementara itu kamera utama di belakang adalah sebesar 50MP yang dipadankan dengan kamera swafoto 32MP. Di China Tank Pad dijual pada harga $799 (~RM3550) sebuah.
