Siri REDMI K80 Dilancarkan Dengan Snapdragon 8 Elite Dan Bateri 6,550mAh
Amy Maizuraa
REDMI telah melancarkan dua variasi baharu telefon pintar daripada generasi K80 di China pada Selasa. Melaluinya REDMI menampilkan beberapa inovasi terkini termasuk cip pemprosesan berkuasa, bateri besar dan teknologi canggih lain seumpamanya. Kemudian membawa pengalaman mudah alih ke tahap lebih baik khususnya dalam kalangan pengguna moden yang menginginkan sebuah peranti berprestasi tinggui tetapi juga dilengkapi harga mampu milik.

REDMI K80 dan K80 Pro menggunakan skrin OLED 2K 6.67″ dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 3200nits. Ini digabungkan dengan cip Snapdragon 8 Elite, memori 12/16/24GB RAM dan storan dalaman 256/512GB/1TB untuk REDMI K80 Pro. Sementara itu REDMI K80 pula dijana oleh Snapdragon 8 Gen 3 bersama pilihan memori sehingga 24GB RAM dan storan dalaman 1TB.
Turut disertakan adalah perisian terkini Xiaomi HyperOS 2.0 yang menawarkan sejumlah ciri berasaskan AI yang memudahkan pengguna di samping bantu meningkatkan produktiviti. Tri-kamera dengan tetapan 50MP utama (Fusion 800) + 32MP sudut ultra lebar (Samsung S5KKD1) + 50MP telefoto makro (Samsung S5KJN5) disertakan pada REDMI K80 Pro. Kemudian dwi-kamera utama pula melengkapi REDMI K80 dengan tetapan 50MP (Light Fusion 800) + 8MP sudut ultra lebar bersama OIS terbina.

Kedua-dua peranti juga mempunyai kebolehan rakaman maksimum 8K dan kamera swafoto 20MP. REDMI melengkapkan lagi peranti dengan bateri sebesar 6,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 120W pada model K80 Pro. Selain itu bateri berkapasiti 6,550mAh pada model REDMI K80 yang menyokong sistem pengecasan pantas 90W. Lain-lain spesifikasi termasuk pembesar suara stereo Dolby Atmos, pengimbas cap jari di skrin, kalis air IP68 dan sensor inframerah. Harga jualan bermula RMB3699 (~RM2,267) untuk REDMI K80 Pro dan REDMI K80 pula bermula RMB2499 (~RM1,531) sebuah.