Pembangunan Gedung Aplikasi Xbox Sudah Siap – Tetapi Pembukaannya Ditunda Buat Masa Ini
Nazrin
Beberapa minggu lalu, Microsoft telah mengumumkan bahawa mereka telah membina sebuah gedung aplikasi untuk platform Android yang membolehkan pengguna untuk membeli dan memainkan permainan-permainan melalui aplikasi Xbox.
Ciri tersebut dilaporkan sudahpun dibina, dan boleh diperkenalkan pada aplikasi Xbox, akan tetapi buat masa ini nampaknya Microsoft perlu menjedakan hasrat tersebut kerana pihak mahkamah Amerika Syarikat telah menangguhkan keputusan untuk membolehkan syarikat-syarikat lain membuka gedung aplikasi mereka sendiri pada platform Android.
Sebelum ini mahkamah Amerika Syarikat telahpun mengarahkan Google untuk membenarkan syarikat-syarikat seperti Epic Games untuk membuka gedung aplikasi mereka sendiri dengan gerbang pembayaran yang tidak terikat kepada Google Play Store. Epic Games Store sudahpun boleh beroperasi di negara-negara Kesatuan Eropah, dan baru-baru ini, Microsoft nampaknya mahu melakukan perkara yang sama di Amerika Syarikat.
Seorang eksekutif Microsoft mengesahkan bahawa gedung tersebut sudahpun siap dibina, tetapi buat masa ini hanya menunggu arahan mahkamah untuk mengeluarkan kemaskini tersebut. Sebelum ini, Microsoft mengatakan bahawa cirii tersebut sedia diperkenalkan pada bulan November 2024.
Sebelum ini Microsoft pernah mencuba untuk memperkenalkan ciri menstrim permainan xCloud tetapi hanya menawarkannya pada pelayar web untuk kedua-dua platform Android dan iOS kerana isu berkenaan gedung aplikasi permainan.
Buat masa ini, fungsi gedung aplikasi Microsoft Xbox ini nampaknya hanya terhad kepada pasaran Amerika Syarikat buat masa ini, dan tidak diketahui lagi jika ia akan diperkenalkan di pasaran-pasaran lain.