Pengasas Maxis dan Astro, Tan Sri Ananda Krishnan Meninggal Dunia
Effi Saharudin
Tan Sri Ananda Krishnan, seorang tokoh perniagaan terkemuka dan yang juga merupakan antara hartawan terkaya di Malaysia telah meninggal dunia sebentar tadi pada usia 86 tahun. Pemergian beliau disahkan oleh syarikat pegangan pelaburannya, Usaha Tegas Sdn Bhd tetapi sebab kematian masih belum diumumkan.

Ananda Krishnan dikenali sebagai pengasas dan pengerusi beberapa syarikat besar seperti Maxis Bhd, Astro Malaysia Holdings Bhd, MEASAT Satellite Systems dan Bumi Armada Bhd. Beliau juga disenaraikan sebagai individu ke-6 terkaya di Malaysia dan ke 667 di dunia oleh Forbes dengan nilai kekayaan bersih sebanyak $5.1 bilion (RM22.7 bilion).
Ananda dilahirkan di Brickfield, Kuala Lumpur pada tahun 1938dan menerima pelajaran awal di Sekolah Tamil Vivekananda Kuala Lumpur dan kemudiannya di Victoria Institution. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Mudanya (Kepujian) daripada Universiti Melbourne, Australia sebelum melanjutkan pelajaran ke tahap Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Harvard. Mendiang meninggalkan tiga orang anak.