Carian
Pemilik EV Mercedes-Benz Boleh Menikmati Pelbagai Kelebihan Tambahan Di 5 Hotel Breprestij Ini
November 28, 2024 Ikhwan Nazri

Mercedes Benz sebagai jenama mewah dalam kenderaan bukan sahaja menawarkan kecanggihan teknologi, malah pengalaman pemilikan yang mewah sejajar dengan namanya. Hari ini mereka mengumumkan kerjasama dengan beberapa hotel mewah dan juga penyedia pengecasan kenderaan elektrik bagi menawarkan pengalaman menggunakan kereta elektrik yang berlainan dari jenama yang lain.

Kerjasama dari Mercedes-Benz ini melibatkan 5 hotel terkemuka iaitu JW Marriott serta Shangri-La Rasa Sayang di Pulau Pinang, Kelab Golf Saujana serta Hotel Ruma di Lembah Klang, dan Anantara Desaru yang terletak di Johor. Di lokasi ini, terdapatnya pengecas dengan kerjasama syarikat pengecasan tempatan seperti Gentari, JomCharge serta ChargEV. Khusus untuk pengguna kereta elektrik Mercedes-Benz, anda juga akan menerima kredit pengecasan yang boleh digunapakai di lokasi ini. Kenderaan elektrik berjenama lain masih juga boleh menggunakan pengecas ini. 

Selain itu, pemilik EV Mercedes-Benz juga akan menerima kelebihan lain apabila memilih untuk mengecas di lokasi hotel berprestij diatas seperti waktu daftar masuk yang lebih awal dan juga daftar masuk lebih lewat dari biasa, diskaun pembelian, makanan, barangan hotel eksklusif, naiktaraf bilik dan bermacam lagi. Ini akan melengkapkan keseluruhan pengalaman pemilikan kenderaan elektrik mewah ini. 

Menurut Mercedes-Benz lagi, mereka akan menambah lebih banyak lokasi-lokasi berprestij di seluruh Malaysia, dan tidak terhad kepada hotel dan penginapan sahaja. Mereka juga sedang meneroka potensi kerjasama dengan lokasi seperti pusat membeli belah, padang golf yang lain, dan lokasi yang menawarkan gaya hidup eksklusif untuk pemilik EV mereka. 

Komen