Penerimaan Dana CHIPS Act Melarang Intel Dari Menjual Perniagaan Pengeluaran Cip Mereka
Nazrin
Intel baru sahaja menandatangani perjanjian pelaburan CHIPS Act yang bernilai $7.86 bilion daripada kerajaan Amerika Syarikat, dan bersama-sama dengan dana tersebut, Intel kini terikat dengan janji bahawa perniagaan faundri cip mereka tidak boleh dijual kepada mana-mana pihak.
Ini tidak bermakna bahawa Intel tidak boleh memisahkan perniagaan tersebut daripada syarikat utama, tetapi jika ia berlaku, Intel masih perlu mengekalkan pegangan majoriti 50.1 peratus, dan memastikan bahawa tiada syarikat lain mempunyai pegangan milik melebihi 35 peratus pada syarikat tersebut.
Dalam pada itu, Intel juga perlu memastikan bahawa mereka memiliki pegangan majoriti keatas semua syarikat yang akan menerima dana CHIPS Act tersebut. Sebarang perubahan dari segi pemilikan pada perniagaan faundri tersebut haruslah selari dengan prinsip dan objektif kerajaan Amerika Syarikat sebelum ia dibenarkan.

Ini sedikit sebanyak menjawab mengapa syarikat-syarikat sebelum ini yang dilaporkan berminat untuk membeli Intel rata-ratanya dilihat tidak lagi berminat mahu mengambilalihnya. Nilai sebenar Intel sebagai sebuah syarikat dilihat pada kapasitinya sebagai pengeluar cip semikonduktor bertekn.ologi tinggi terbesar di Amerika Syarikat, dan ia tidak menghairankan bahawa kerajaan Amerika Syarikat mahu memastikan ia kekal dibawah sebuah syarikat yang berpengkalan di negara tersebut.
Dengan dana ini juga, Intel akan perlu melaburkan wang dalam pembangunan teknologi pengeluaran cip semikonduktor. Ini bukanlah sesuatu yang Intel perlu risaukan kerana mereka sudahpun ada peta jalan untuk pembangunan teknologi proses pengeluaran semikonduktor mereka, yang termasuklah proses Intel 18A, Intel 14A dan Intel 3-PT.
[sumber]Tom’s Hardware[/sumber]