Carian
ElevenLabs Melancarkan GenFM, Pesaing Google NotebookLM – Menjana Podsiar Dengan 2 Hos AI
November 29, 2024 Fahim Zahar

Google NotebookLM adalah antara perkhidmatan AI generatif kegemaran saya. Ini kerana ia boleh menjana satu episod podsiar dengan dua hos AI berdasarkan pautan artikel, teks dan fail-fail dokumen seperti PDF. Ia juga mampu menjana suara yang semula jadi seakan manusia sebenar berbincang sesuatu topik. Terbaru, ElevenLabs telah memperkenalkan versi mereka sendiri.

Ia diberi nama sebagai GenFM dan apa yang membuatkannya lebih hebat dan unik berbanding NotebookLM adalah ia menyokong 32 bahasa berbeza. Bukan itu sahaja, GenFM turut boleh menawarkan pelbagai suara berdasarkan watak berbeza yang tidak terhad kepada suara sama seperti Google. Cuma buat masa ini, pengguna tidak boleh memilih suara kerana ia dijana secara automatik berdasarkan sumber teks yang diberikan.

Seperti Google, hos AI GenFM turut boleh mimik manusia berfikir sebelum bercakap seperti “umm” atau “aahhh“. Dalam cubaan kami, artikel Amanz akan dijana menjadi podsiar berbahasa Indonesia walaupun dalam ElevenLabs ia menyokong bahasa Melayu. Setiap podsiar dijana turut mempunyai transkrip teks yang diasingkan mengikut perbualan hos berbeza.

GenFM tersedia pada aplikasi mereka iaitu ElevenReader di iOS. Sokongan pada peranti Android akan tiba di masa akan datang.

Komen