Saya yakin anda biasa melihat peranti Windows dengan tera air “Activate Windows, Go to Settings to activate Windows.“. Ini tanda peranti tersebut belum didaftarkan lagi dengan lesen yang sah atau adalah salinan cetak rompak. Terbaru, Microsoft turut akan memaparkan tera air ini pada peranti yang tidak menepati piawaian spesifikasi yang dikehendaki.
Tera air ini lebih kepada mengingati pengguna yang mereka sedang menggunakan Windows 11 pada peranti yang tidak sepatutnya. Bukan itu sahaja, Microsoft turut akan memberi mesej peringatan yang berbunyi;
“PC ini tidak memenuhi keperluan sistem minimum untuk menjalankan Windows 11. Keperluan ini membantu memastikan pengalaman yang lebih membantu dan berkualiti tinggi. Memasang Windows 11 pada PC ini tidak digalakkan dan boleh menyebabkan masalah keserasian. Jika anda meneruskan pemasangan Windows 11, PC anda tidak lagi akan disokong dan tidak akan berhak menerima kemas kini. Kerosakan pada PC anda akibat kekurangan keserasian tidak dilindungi di bawah jaminan pengeluar. Dengan memilih Terima, anda mengakui bahawa anda telah membaca dan memahami pernyataan ini.“
Ya, menggunakan Windows 11 pada peranti yang tidak menepati spesifikasi minima yang diperlukan tidak lagi melayakkan pengguna menerima kemas kini. Bukan itu sahaja, Microsoft turut memerlukan pengguna bersetuju menerima perkara ini dan jika sebarang kerosakan berlaku anda turut tidak boleh menuntut jaminan peranti dengan pengeluar.
Jika anda tertanya, jika ada banyak halangan dan amaran kenapa Microsoft membenarkan pemasangan Windows 11 pada peranti sebegini? Ini kerana beberapa tahun lepas, jumlah pengguna Windows 11 adalah sangat rendah dan pemasangan sistem operasi ini dibenarkan dengan syarat pengguna menandatangani perjanjian khas dengan Microsoft.
Adakah anda akan berkeras dan kekal menggunakan peranti sedia ada atau akan menaiktaraf ke peranti Windows dengan spesifikasi terkini?