Spesifikasi MSI Claw 8 AI+ Tertiris Melalui Penyenaraian Di Amazon
Nazrin
MSI dijangka akan memperkenalkan konsol PC MSI Claw 8 AI+ mereka yang hadir dengan cip pemprosesan Intel Lunar Lake tidak lama lagi, dan kini, nampaknya spesifikasi CPU yang akan ditawarkan dengan konsol ini telah diperlihatkan.
Lowyat.net melaporkan bahawa spesifikasi CPU MSI Claw 8 AI+ telah diperlihatkan melalui laman produk konsol MSI Claw di Amazon. Nampaknya konsol ini akan dikuasakan oleh CPU Intel Core Ultra 7 258V dengan 32GB memori LPDDR5X terbina. Seperti yang sedia maklum memori pada cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V terbina secara terus didalam CPU dan tidak boleh diubah.

Kami juga telah mengesahkan spesifikasi lain seperti storan SSD 512GB, paparan skrin 8.0 inci yang lebih besar dengan kadar segar semula 120Hz, bateri 80Wh dan juga palam Thunderbolt 4 melalui artikel pandang pertama kami.
Dalam pada itu, konsol ini juga nampaknya akan hadir dengan penawaran Intel Core Ultra 256V yang akan hadir dengan memori sebanyak 16GB.

Seperti yang kami laporkan juga sebelum ini, MSI Claw 8 AI+ akan diperihatkan di acara CES 2025, tetapi pengesahan spesifikasi ini memperlihatkan sedikit sebanyak tentang prestasi konsol ini, dan juga kebarangkalian tentang tanda harganya, yang juga dilaporkan adalah pada $899, ataupun sekitar RM3999.
Walaupun begitu, Lowyat.net juga melaporkan bahawa MSI Claw 8 AI+ akan diperlihatkan pada penghujung Disember 2024, dan penyenaraiannya nampaknya adalah untuk persediaan jualannya pada awal tahun hadapan.
[sumber]Lowyat.net[/sumber]