Pada tahun ini Honor hadir dengan pengganti telefon pintar tahan lasak baharu melalui model Honor X9c 5G. Binaan tubuh yang nipis dan ringan masih dikekalkan namun beberapa perubahan turut dibuat untuk perkakasan dalaman pada peranti. Dalam artikel kali ini saya melihat secara menyeluruh untuk penawaran telefon pintar X9C 5G ini, dan berbaloikah untuk dibeli atau sebaliknya.
SPESIFIKASI DAN REKAAN
Honor X9C 5G | |
---|---|
Skrin | 6.78-inci AMOLED, 1.5K 1B colors, 120Hz 4,000 nits (puncak) |
Pemproses | Snapdragon 6 Gen 1 (4 nm) |
Cip | 4 x 2.2 GHz Cortex-A78 4 x 1.8 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Adreno 710 |
RAM | 8/12GB LPDDR4X |
Muatan Dalaman | 256GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 108MP utama 5MP ultra-lebar |
Kamera Swafoto | 16 Megapixel f/2.5 |
Bateri | 6600 mAh karbon silikon Pengecasan berwayar 66W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP65M |
Sistem Imbasan | Imbasan cap jari skrin Imbasan wajah |
Harga Jualan | RM 1,499 (12/128GB) RM 1,699 (12/256GB) |
Reka bentuk Honor X9c 5G menarik perhatian. Ia benar-benar nipis dan ringan dengan tumpuan terhadap ketahanan skrin lebih baik. Honor X9c 5G mempunyai panel hadapan AMOLED 1.5K sebesar 6.78” yang melengkung di bahagian sisi. Paparan juga menyokong gamut warna DCI-P3 dengan 100% SRGB dan sehingga 1.07 bilion warna yang boleh menunjukkan gambar, video dan media lain dalam warna terang.
Selain itu mempunyai kadar segar semula 120Hz untuk pengalaman tatalan lebih menyeronokkan. Saya sendiri tiada masalah dengan paparan peranti ini yang sememangnya berfungsi dengan baik dalam kebanyakan penggunaan harian seperti melayari web, membaca artikel, membalas mesej dan lain-lain.
Malahan skrin turut boleh digunakan dalam pelbagai jenis keadaan pencahayaan termasuk di bawah cahaya matahari secara langsung melalui kecerahan maksimumnya sehingga 4000 nit. Penghasilan semula warna juga baik yang kelihatan seperti hidup bersama teks yang tajam. Malahan lebih terang berbanding skrin Honor 200 Pro yang pernah saya uji sebelum ini.
Honor mengatakan bahawa kaca yang digunakan dalam skrin telefon ini telah melalui banyak ujian ketahanan untuk memastikan ia tidak mudah pecah jika terjatuh beberapa kali. Adakah saya cuba mengujinya? Ya, saya telah menjatuhkan telefon ini di atas beberapa jenis permukaan khususnya mozek dan tiada apa-apa yang berlaku pada paparan.
Saya akui bimbang pada mulanya namun apabila melihat ia boleh bertahan dengan baik. Maka saya terus cuba mengujinya dengan ujian goresan pula dan tiada satu calar yang muncul. Bahagian skrin turut menempatkan sistem imbasan cap jari yang mana mampu berfungsi secara konsisten tanpa sebarang masalah semasa membuka skrin. Di samping terdapatnya lubang kamera kecil berbentuk pil yang diletakkan betul-betul di bahagian tengah skrin.
Kemasan berkilat digunakan pada panel belakang menjadi pelindung yang baik malahan kalis terhadap kesan kotoran cap jari. Terdapat juga bonggol kamera besar yang menonjol dengan tiga kamera utama di dalamnya. Ia juga berbentuk bulat secara keseluruhan dan bukanlah seakan cincin seperti yang digunakan pada Honor X9b 5G sebelum ini.
Butang kuasa dan laras audio terletak di sisi kanan peranti. Kedua-duanya boleh dicapai dengan mudah semasa menggunakan telefon dengan satu tangan. Namun saya merasakan bahawa butang kuasa seakan diletakkan terlalu rendah ke arah tengah yang seringkali menyebabkan terkunci skrin secara tidak sengaja.
Honor X9c 5G juga mempunyai port USB-C, pembesar suara dan ruang slot SIM di bahagian bawah. Ia menjadi lebih menarik apabila pembesar suara tersebut sejenis stereo dengan kelantangan audio yang boleh mencapai 300% sekali gus mengatasi kelemahan terbesar pada beberapa generasi sebelum ini. Ia juga didapati berfungsi cukup baik untuk sebahagian besar penggunaan termasuk mendengar spotify atau menonton filem secara santai.
Pada tetapan tertinggi, audio yang dihasilkan adalah lantang dan jelas. Bayangkan menonton filem di Netflix dengan paparan AMOLED yang cantik ditambah dengan pembesar suara stereo sebegini sudah tentulah menarik. Namun tidak seimbang dengan audio pembesar suara bahagian bawah lebih kuat berbanding pada ganggang telinga.
Malahan turut tidak mengejutkan memandangkan sememangnya masalah yang sering saya temui pada peranti yang tidak meletakkan kedua-dua pembesar suara di bahagian hadapan. Perlu juga diketahui bahawa telefon ini tidak disertakan dengan bicu audio 3.5mm namun tidak perlu risau kerana banyak pilihan fon telinga di pasaran yang dijual pada harga mampu milik.
Telefon ini juga IP65M, yang kalis habuk dan tahan air panas apabila peranti sedang bergerak. Peranti ini menyediakan perlindungan menyeluruh dengan struktur rintangan air tiga lapisan, dan boleh bertahan pada suhu antara -30 hingga 55 darjah Celsius. Semasa pelancaran media Malaysia, saya turut cuba menggunakan telefon ini sebagai tukul untuk mengetuk paku pada blok kayu, menjatuhkan pada ketinggian 2-meter dan memasukkan ke dalam periuk berisikan air panas.
PRESTASI DAN PENANDA ARAS
Honor X9c 5G masih dijana dengan cip Snapdragon 6 Gen 1 yang sama digunakan pada Honor X9b 5G. Ia juga mempunyai memori sebesar 12GB RAM dan boleh ditambah secara maya sehingga 12GB RAM melalui ciri Honor RAM Turbo. Sekali gus boleh bantu meningkatkan prestasi khususnya melibatkan penggunaan multitugas dan berbilang aplikasi.
Storan dalaman 256GB yang disertakan adalah baik dan sepatutnya cukup untuk kebanyakan pengguna. Dalam ujian penanda aras yang dilakukan ia mencatatkan 937 markah dalam ujian satu teras Geek bench dan 2,774 markah dalam ujian multi-teras. Sementara itu dalam ujian AnTuTu 3D dan Wildlife pula masing-masing mencatatkan sebanyak 532,621 dan 2,385 mata.
Secara realiti telefon ini berfungsi dengan baik dalam sebahagian besar tugasan harian seperti melayari web dan media sosial. Walaupun tidak sepantas telefon terkini lain namun saya masih boleh melakukan pelbagai tugas dengan sebaiknya. Saya juga tidak mempunyai masalah melancarkan banyak aplikasi tanpa melakukan proses segar semula malah boleh membiarkannya terbuka secara latar belakang tanpa menutupnya. Skrin dilihat agak responsif terhadap semua sentuhan sepanjang permainan.
Saya juga tidak berhadapan dengan isu lengah masa yang melampau semasa menukar aplikasi secara kerap. Meskipun cip pemprosesan Snapdragon 6 Gen 1 juga sudah berusia lebih satu tahun namun pengalaman permainan masih di tahap yang menyeronokkan namun jangan meletakkan harapan yang tinggi untuk jenis permua yang memerlukan sokongan grafik tinggi.
Seterusnya Honor X9c 5G menjalankan perisian MagicUI 8.0 berasaskan Android 14 yang masih serupa dengan antara muka pengguna EMUI. Masalah lambakan bloatware juga berlaku di sini namun antara muka boleh berfungsi dengan baik dan responsif sewaktu digunakan. Terdapat juga beberapa kelebihan ciri berasakan AI daripada siri peranti premium mereka yang boleh dimanfaatkan.
Misalnya seperti AI Motion Sensing yang membolehkan kamera menangkap objek bergerak pantas lalu menghasilkan imej yang jelas dan tajam. Seterusnya dengan beberapa langkah mudah sistem AI boleh mengenal pasti teks serta imej untuk digunakan dalam pelbagai perkara, sama ada mencari, berkongsi atau membeli barangan dengan mudah tanpa perlu bertukar diantara aplikasi melalui fungsi Magic Portal.
AI Eraser pula boleh bantu membuang benda yang tidak diingini sama ada orang atau objek yang mengganggu daripada gambar dengan mudah. Lain-lain ciri yang boleh ditemui termasuk Magic Capsule yang menjadi klon Dynamic Island dan AI Blur Private Info untuk pelindungan data peribadi.
KAMERA DAN KUALITI GAMBAR
Dwi-kamera utama sebesar 108MP f/1.75 + 5MP ultra-lebar digunakan pada peranti. Sokongan ini seperti turun taraf daripada tri-kamera utama yang melengkapi Honor X9b sebelum ini. Namun seperti yang diketahui Honor menyediakan OIS yang memungkinkan proses mengambil gambar yang lebih tajam dan stabil khususnya dalam pencahayaan malap. Malahan tidak ditawarkan pada Honor X9b 5G sebelum ini.
Sistem kamera juga menggunakan kecerdasan buatan bagi tujuan meningkatkan kualiti gambar sambil memberikan tetapan terbaik bergantung kepada situasi. Selain itu menyokong zum optikal 3X dan digital 10X. Bahagian hadapan pula sensor sebesar 16MP digunakan untuk rakaman swafoto beresolusi tinggi.
Peranti turut boleh menangkap gambar dengan nisbah 1:1, 4:3, 16:9 dan penuh dengan beberapa pilihan tera air diberikan. Format video pula mencapai 4K/30FPS atau 1080P/60FPS tanpa sebarang penstabilan yang disokong. Dalam masa sama menyokong ciri penggambaran yang sama seperti siri Honor yang lain termasuk Pro Mode, Aperture Mode, Live Photos dan lain-lain.
Kualiti gambar memberikan hasil yang sederhana dengan penghasilan warna yang kusam. Perincian agak baik namun nisbah kontra antara warna paling gelap dan terang yang ditangkap oleh kamera dilihat terhad. Ia bagaimanapun masih boleh digunakan tanpa masalah malahan sedikit suntingan pasti menghasilkan kesan gambar yang lebih baik untuk pandangan umum.
Begitu juga dengan hasil gambar ultra-lebar dan mod malam yang tidak begitu tajam dengan isu hingar yang ketara. Gambar swafoto juga lebih daripada memadai namun pencahayaan yang cukup diperlukan untuk hasil yang memuaskan.
BATERI DAN SISTEM PENGECASAN
Bateri adalah sejenis karbon silikon yang juga lebih besar mencapai 6600mAh. Peranti didapati boleh bertahan lebih tiga hari untuk penggunaan yang ringan. Penggunaan berat secara berterusan yang termasuk menangkap gambar, bermain permua dan melayari web pula menunjukkan peranti boleh bertahan kurang daripada sehari manakala boleh bertahan sehari suntuk dalam penggunaan yang sederhana. Dengan pengecasan 66W berwayar, isu bateri yang tidak begitu bertahan lama ini tidak menjadi isu besar. Malahan boleh dicas semula dalam masa kira-kira 50 minit sahaja.
PERBANDINGAN PERANTI
Realme 13+ 5G | Realme 13+ 5G | Vivo V40 |
6.78″ AMOLED, 1080 x 2400, 120Hz, 4000 nits, | 6.67″ AMOLED, 1080 x 2400, 120Hz, 2000 nits | 6.78″ AMOLED, 1260 x 2800, 120Hz, HDR10+ |
Snapdragon 6 Gen 1 (4 nm) 4 x 2.2 GHz Cortex-A78 4 x 1.8 GHz Cortex-A55 | Dimensity 7300 Energy (4nm) 4x 2.5 GHz Cortex-A78 4x 2.0 GHz Cortex-A55 | Snapdragon 7 Gen 3 (4nm) 1x 2.63 GHz Cortex-A715 3x 2.4 GHz Cortex-A715 4x 1.8 GHz Cortex-A510 |
Adreno 710 | Mali G610 MC4 | Adreno 720 |
8/12GB LPDDR4X 12GB Maya | 12 GB LPDDR4X 14 GB Maya | 12 GB LPDDR4X |
256GB UFS 3.1 | 256/512 GB UFS 3.1 | 256/512 GB UFS 2.2 |
Kamera Utama 108MP, OIS (utama) 5MP (ultra-lebar) | Kamera Utama 50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 2MP f/2.4 (Kedalaman) | Kamera Utama 50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.0 (Ultra Lebar) Lensa Zeiss |
Kamera Hadapan 16MP, f/2.5 | Kamera Hadapan 16MP, f/2.4 | Kamera Hadapan 50 MP, f/2.0 |
IP65M | IP65 | IP68 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
6,600 mAh (berwayar 66W) | 5000 mAh (Berwayar 80W) | 5500 mAh (Berwayar 80W) |
RM 1,499 (12/128GB) RM 1,699 (12/256GB) | RM1,399 (12/256 GB) RM1,799 (12/512 GB) | RM1999 (12/256 GB) RM2399 (12/512 GB) |
APA ADA DALAM KOTAK
Berikut ialah komponen yang disertakan dengan setiap pembelian.
- 1x Honor X9c 5G.
- 1x Kerangka pelindung plastik
- 1x Kabel USB-A ke USB-C.
- 1x Pengecas USB-A 66W
- 1x Buku panduan dan keselamatan.
- 1x Pin SIM
KESIMPULAN
Antara yang baik tentang Honor X9c 5G adalah kemampuan bertahan dalam kebanyakan senario yang mencabar. Selain itu mampu memuaskan pengguna dalam sebilangan aspek seperti binaan yang nipis, ringan dan anggun. Selain itu mempunyai perisian terkini dengan ciri berasaskan AI yang setanding peranti mercu.
Skrin besar untuk menonton video dengan selesa di samping pengalaman melayari web yang lancar melalui fungsi kadar segar semula 120Hz. Honor juga menyediakan kapasiti bateri besar yang boleh dicas semula melalui sistem pengecasan yang juga pantas. Pada masa sama menaik taraf peranti dengan sistem audio stereo dan kamera dilengkapi OIS.
Meskipun begitu prestasi kamera hanya di tahap sederhana dengan penghasilan semula warna yang kusam. Anda boleh pertimbangkan keutamaan dan keperluan sebelum membelinya kerana sistem kamera bukanlah kekuatan peranti ini. Harga jualan rasmi bermula RM1499 (12/128GB) dan RM1699 (12/256GB) sebuah.
Pro
- Skrin besar dengan sokongan 120Hz.
- Snapdragon 6 Gen 1 menyokong 5G.
- Rekaan tubuh yang nipis, ringan dan kukuh.
- Sistem audio stereo.
- Kapasiti bateri lebih besar.
Kontra
- Prestasi kamera sekadar sederhana.
- Tiada slot kad mikro SD.
- Masalah aplikasi gendut.
- Sistem pengecasan masih sama.