Intel telah mengumumkan CEO mereka Pat Gelsinger telah bersara secara mengejut pada 1 Disember lalu. Ini menamatkan kerjaya beliau selama lebih 40 tahun. David Zinsner dan Michelle Johnston Holthaus dilantik memegang jawatan CEO bersama sementara lembaga pengarah menjalankan pencarian CEO baharu.
Menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber dalaman, Gelsinger diberikan kata dua untuk bersara ataupun dipecat oleh lembaga pengarah Intel. Ini berlaku selepas lembaga pengarah hilang keyakinan Gelsinger mampu mengubah hala tuju syarikat selepas memegang jawatan sebagai CEO sejak 2021.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini Intel mengalami pelbagai masalah sehingga memaksa syarikat membuang ribuan tenaga kerja, membatalkan beberapa kilang di Eropah dan mengurangkan skala kilang mereka di Pulau Pinang bagi menstabilkan semula kewangan syarikat. Baru-baru kedengaran ura-ura Qualcomm cuba membeli perniagaan rekaan Intel. Sungguhpun begitu Intel masih menjadi penerima terbesar dana Akta CHIPS bernilai hampir $8 bilion bagi mengembalikan kemampuan pengilangan cip di Amerika Syarikat
Kehilangan Apple sebagai pelanggan, isu dengan cip Intel gen-13 dan gen-14 dan kegagalan Intel untuk menghasilkan cip AI yang memberikan persaingan kepada NVIDIA menjadi sebab nasib syarikat yang dahulunya pengeluar cip nombor satu dunia terjejas.