OpenAI kini dilaporkan pertimbangkan pengenalan iklan pada produk kecerdasan buatan mereka, ChatGPT. Langkah ini adalah sebagai usaha mereka dalam menjana pendapatan daripada perkhidmatan yang ditawarkan kepada umum.
Buat masa ini, ia masih pada fasa pertimbangan, dan tidak diketahui lagi bagaimanakah ia akan diimplementasikan. Untuk makluman, sebelum ini juga pihak ChatGPT turut telah memperkenalkan enjin carian mereka dinamakan ChatGPT Search, dan berhasrat menyaingi Google melaluinya.
OpenAI turut dilihat telah mula mendapatkan bakat-bakat industri pengiklanan daripada Meta dan Google kebelakangan ini.
Kos menawarkan perkhidmatan berasaskan kecerdasan buatan adalah lebih tinggi berbanding perkhidmatan internet yang lain. ChatGPT sendiri menawarkan pelan berbayar, namun tidak dilanggan oleh ramai pengguna. Satu lagi kaedah mereka menjana pendapatan adalah dengan menawarkan akses API kepada pembangun dan perniagaan. Dengan langkah integrasi pengiklanan, ia dijangka akan dapat lebih membantu OpenAI dari segi pendapatan, dan mengurangkan kadar kerugian.