Amerika Syarikat Menolak Permohonan Visa Warga China Yang Ingin Ke CES 2025
Effi Saharudin
Kakitangan syarikat teknologi China mengatakan permohonan visa untuk menghadiri Consumer Electronic Show (CES) di Las Vegas tahun depan telah dinafikan oleh Jabatan Imigresen Amerika Syarikat. Menurut laporan SCMP, permohonan visa ditolak walaupun disertakan dengan dokumen menunjukkan mereka diundang oleh pihak CES.

Ini dilihat sebagai satu lagi halangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat bagi mengekang kemasukan teknologi daripada China. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekitar 30% peserta pameran adalah syarikat daripada China. Sekatan yang dikenakan ini dilihat sebagai seperti menembak kaki sendiri oleh Amerika Syarikat kerana ia hanya akan menjejaskan CES.
Selepas memenangi pilihanraya presiden bulan lalu, Donald Trump menegaskan pentadbiran beliau akan mengenakan tarif berganda ke atas produk yang diimport daripada China, Mexico dan Kanada. Tarif yang dikenakan ke atas China sudahpun dinaikkan ketika pemerintahan Biden dengan kemasukan kereta elektrik, panel solar, semikonduktor, papan induk, kerangka PC dan kad grafik.