Melakukan sandaran fail daripada komputer ke awanan ialah amalan yang baik bagi mengelakkan kehilangan data sekiranya berlaku isu dengan peranti. Ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan terdapat sambungan internet. Amazon Web Services sebagai pengendali perkhidmatan awanan terkemuka telah melancarkan perkhidmatan baharu yang diberi nama AWS Data Transfer Terminals yang memastikan data boleh dimuat naik dan dengan pantas dan selamat oleh pelanggan.
AWS Data Transfer Terminals ialah lokasi fizikal yang perlu dilawati oleh pelanggan. Ia menyasarkan pelanggan yang ingin memuat naik data bersaiz besar sepantas mungkin menggunakan sambungan internet yang selamat bagi menjamin privasi.
Bagi memastikan lagi keselamatan, lokasi AWS Data Transfer Terminals adalah dirahsiakan dengan bangunan tidak mempunyai sebarang papan tanda. Pelanggan akan dikenakan bayaran berdasarkan jam dan bukannya saiz data yang dimuat naik. Setakat ini AWS Data Transfer Terminals telah dibuka di Los Angeles dan New York dengan rancangan membukanya di lebih banyak lokasi seluruh dunia.