Carian
Siri Honor 300 Dilancarkan Dengan Snapdragon 8 Gen 3 Dan Kamera 50MP OIS
December 3, 2024 Amy Maizuraa

Honor telah melancarkan peranti baru mereka di bawah siri nombor secara rasminya di China. Ianya terdiri dengan beberapa model berbeza yang termasuk Honor 300 dan 300 Pro yang mempunyai spesifikasi canggih bagi memenuhi pelbagai ciri-ciri hebat yang lain. Berikut dikongsikan spesifikasi penuh kedua-dua peranti baharu ini.

Honor 300 Pro menggunakan skrin AMOLED FHD+ sebesar 6.78-inci dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 4,000nits. Ini digabungkan dengan cip Snapdragon 8 Gen 3, memori 16GB RAM LPDDR5 dan storan mencapai 1TB. Selain itu menjalankan perisian terkini MagicOS 9.0 berasaskan Android 15 untuk pelbagai ciri berasaskan AI menarik termasuk Live Photo untuk tangkapan bergerak pantas yang jelas. Kamera utama terdiri dengan 50MP (Sony IMX906) OIS + 12mp ultra-lebar + 50MP portrait telefoto (Sony IMX856) OIS. Peranti juga boleh merakam video 4K dan mempunyai kamera swafoto 50MP (Sony IMX906) + 3D Depth. Bateri pula sebesar 5300mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar 100W dan nirwayar 80W.

Honor 300 pula dilengkapi skrin AMOLED FHD+ 6.7-inci dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 4000nits. Ia dijana dengan cip Snadragon 7 Gen 3, memori 16GB RAM LPDDR5, storan dalaman mencapai 512GB dan perisian terkini MagicOS 9.0 berasaskan Android 15. Ia juga mempunyai kamera utama 50MP (Sony IMX906) + 12MP ultra-lebar dengan kemampuan rakaman mencapai 4K. Sementara itu kamera swafoto pula sebesar 50MP (Sony IMX906) yang juga boleh merakam video 4K. Bateri sebesar 5300mAh disertakan menyokong pengecasan pantas berwayar 100W tanpa kebolehan pengecasan nirwayar.

Honor melengkapkan lagi kedua-dua peranti ini dengan imbasan cap jari atas skrin, pembersar suara stereo, port USB-C, rangkaian 5G dan kalis air IP65. Harga jualan rasmi bermula RMB2299 (~RM1,411) untuk Honor 300 manakala Honor 300 Pro berharga bermula RMB3399 (~RM2,086) sebuah.

Komen