ChatGPT ialah chatbot yang memudahkan pelbagai maklumat duniawi dicari dalam tempoh yang singkat. Tetapi kini muncul laporan sekiranya topik tertentu ditanya oleh pengguna, ia akan membuatkan ChatGPT tergendala. Semalam di media sosial ramai melaporkan ChatGPT berhenti berinteraksi sekiranya disuruh menjawab soalan mengenai David Mayer, Jonathan Zittrain, David Faber, Guido Scorza dan Jonathan Turley
Ada yang mengatakan ini ialah konspirasi melibatkan tangan rahsia dunia. Tetapi jawapan sebenarnya ialah kesemua individu-individu ini pernah memfailkan saman ke atas OpenAI selepas maklumat yang salah mengenai diri mereka dipaparkan dalam ChatGPT. Jonathan Turley, misalnya ialah seorang pensyarah universiti yang memfailkan saman selepas ChatGPT mengatakan beliau terlibat dalam sebuah kes salah laku seksual walaupun ini tidak pernah berlaku.
Ini jelas menunjukkan OpenAI boleh menghalang maklumat mengenai anda dipaparkan lebih-lebih lagi sekiranya jawapan ChatGPT mempunyai kesilapan. Jadi jika ini pernah berlaku kepada anda, gunakan khidmat guaman untuk mengelakkan ianya berulang di masa hadapan.