Carian
Honor Notebook X14 Plus Ialah Komputer Riba Pertama Dengan Cip Intel Core 200H
December 3, 2024 Nazrin

Tahun depan kita dijangka akan memperlihatkan penawaran komputer riba kelas lebih mampu milik baru, dan komputer riba oleh Honor ini mungkin salah satu daripadanya. Ia akan diperkenalkan pada tahun 2025 kelak, dan akan dikuasakan oleh sebuah cip pemprosesan Intel baru.

Dinamakan Honor Notebook X14 Plus, ia akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core 200H, dan secara khususnya, Intel Core 5 220H yang merupakan pertama kali cip pemprosesan ini diperlihatkan. Komputer riba ini hadir dengan paparan skrin bersaiz 14 inci dan mempunyai resolusi 2.8K dengan pilihan memori LPDDR5X dari 16GB sehingga 32GB.

Menurut beberapa laporan, CPU Intel Core 5 220H akan hadir dengan kelajuan pemprosesan sehingga 4.9GHz dengan nilai TDP 45W. Dari segi butiran teras, CPU ini dilengkapi dengan 12 teras dan 16 bebenang kuasa yang terdiri daripada empat teras prestasi (P-cores) dan lapan teras kecekapan (E-cores).

Jika anda musykil tentang latar belakang model CPU Intel Core 200H ini, ia nampaknya sebuah cip pemprosesan Intel generasi ke-13 Raptor Lake-H yang dijenamakan semula supaya ia boleh dipasarkan sebagai cip pemprosesan baru. Sayangnya, tidak seperti siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V Lunar Lake, siri cip pemprosesan ini tidak dibangunkan untuk manfaat teknologi AI.

Komputer riba Honor Notebook X14 Plus ini nampaknya akan ditawarkan di pasaran China terlebih dahulu dengan pra-tempahan dibuka pada 12 Disember 2024 ini. Setakat ini ia tidak diketahui lagi jika komputer riba ini akan ditawarkan di pasaran-pasaran lain seperti Malaysia.

Komen