Hisense melancarkan 4K Laser Cinema PX3-Pro secara rasminya di Malaysia pada Selasa. Ia dibuat khusus untuk mengubah gaya hidup pengguna selain itu menetapkan standard baharu dalam memberikan pengalaman hiburan persis pawagam terus dari rumah.
Melaluinya ia menggunakan sistem pancaran laser TriChroma X-Fusion yang juga mampu menawarkan lontaran pendek imej diantara saiz 80 hingga 150-inci dengan resolusi maksimum 4K. Ini digabungkan lagi sokongan warna 110% BT.2020 (≈151% DCI-P3) lengkap dengan teknologi Dolby Vision, HDR dan HDR 10+ untuk pengalaman tontonan lebih menyeronokkan. Dengan sokongan Dolby Atmos dan audio spatial pula membolehkan setiap bunyi di sekeliling kedengaran cukup jelas untuk pengalaman seperti berada di dalam pawagam.
PX3-Pro juga mampu memancar kecerahan maksimum 3000 ANSI lumens melalui tiga sumber cahaya semula jadi. Ini peningkatan lebih baik berbanding generasi sebelum ini yang boleh dicapai sehingga 2,400 ANSI Lumens. Selain itu Hisense 4K Laser Cinema PX3-Pro juga mampu bertahan sehingga 25,000 jam penggunaan, di samping menjalankan Android TV untuk akses kepada pelbagai aplikasi seperti Netflix, Prime Video serta YouTube untuk tujuan penstriman.
Terdapat juga kawalan suara melalui Google Assistant dan sokongan HDMI disediakan untuk sambungan yang lancar dengan peranti lain. Harga jualan rasmi adalah RM29,999 sebuah dan boleh didapati melalui pengedar sah Hisense di seluruh Malaysia bermula sekarang.