Carian
Kad Grafik Intel Arc B580 dan B570 Dilancarkan
December 4, 2024 Effi Saharudin

Lewat malam semalam kad grafik Intel Arc B580 dan Arc B570 akhirnya dilancarkan secara rasmi selepas beberapa bulan diacah serta ura-ura ia dibatalkan. Kedua-dua kad grafik menggunakan senibina GPU Xe2 Battlemage yang digunakan pada cip Lunar Lake.

Perbezaan terletak pada teras grafik yang dipertingkatkan sebanyak dua kali ganda, memori sehingga 12GB dan kuasa sehingga 190W. Menurut Intel ini membolehkan ia digunakan untuk sesi permainan video dan juga menjalankan pelbagai tugasan kecerdasan buatan (AI). Menerusi ciri XeSS 2 yang disertakan, kad grafik siri Arc B ini boleh meningkatkan kadar bingkai sehingga 3.9x dan resolusi menggunakan kecerdasan buatan.

Tambah Intel lagi siri Arc B memberikan peningkatan sehingga 70% lebih baik untuk setiap teras Xe dan  50% lebih baik untuk setiap watt. GPU B580 adalah antara 24-78% lebih pantas berbanding Intel Arc A750 pada resolusi 1440p.

Kad grafik IIntel Arc B580 akan dikeluarkan oleh Acer, ASRock, GUNNIR, ONIX Technology, MAXSUN dan Sparkle bermula 13 Disember pada harga bermula $249 (~RM 1112) sebuah. Sementara itu kad grafik Intel Arc B570 pula akan dijual bermula 16 Januari depan pada harga bermula $219 (~RM 978)

Komen