Carian
Fungsi Ethereum Stake Di Luno Kini Patuh Syariah
December 5, 2024 Nazrin

Bagi anda yang berkecimpung dalam industri pelaburan kriptowang, anda pastinya tahu mengenai fungsi Staking dalam istilah kriptowang. Secara ringkasnya, ia adalah salah satu kaedah untuk menjana ganjaran kripto dengan membantu mengesahkan transaksi kripto. Anda boleh menjadikan mata wang kripto
sebagai Stake pada projek yang menggunakan mekanisme konsensus ‘Proof-of-Stake’ untuk memproses transaksi, seperti Ethereum.

Sewaktu pengumuman Luno Malaysia hari ini, Pengurus Besar Luno Malaysia, Scarlett Chai mengatakan bahawa fungsi Ethereum Staking di platform tersebut telah disahkan sebagai patuh Syariah, sekaligus meyakinkan pelabur beragama Islam di Malaysia bahawa pelaburan mereka selari dengan kehendak syariah.

Luno telah bekerjasama dengan firma perundingan kewangan Islam antarabangsa, Amanie Advisors Sdn. Bhd. yang merupakan firma penasihat syariah yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk melakukan semakan menyeluruh dan terperinci terhadap fungsi Stake Ethereum Luno dalam memastikan kepatuhannya dari sudut syariah.

“Malaysia dikenali sebagai hab bagi kewangan Islam serta kejayaannya dalam menjadi perintis perbankan Islam masa kini. Hari ini, dengan pengiktirafan patuh Syariah bagi fungsi Stake Ethereum Luno, kami amat berbangga untuk mengumumkan bahawa Malaysia sekali lagi telah membuat satu langkah ke hadapan dan kekal unggul dalam memacu perkhidmatan kewangan Islam.” kata Scarlett.

Melalui fungsi Ethereum Stake ini, Luno akan menawarkan peratus ganjaran tahunan sehingga 3 peratus setahun pada Ethereum yang dicagarkan sebagai Stake. Ganjaran akan diterima dalam bentuk kriptowang Ethereum (ETH), dan jumlah ganjaran adalah bergantung pada keadaan rangkaian.

Dalam pada itu, ganjaran Ethereum Stake ini akan diagihkan kepada pengguna Luno setiap minggu, dan platform tersebut tidak akan mengenakan sebarang caj tambahan untuk menyertai fungsi ini ataupun pada setiap ganjaran yang diterima.

Komen