Ming-Chi Kuo menerbitkan laporan terkini beliau hari ini yang mengatakan pelancaran Apple HomePod dengan skrin akan ditangguhkan pula ke Q3 2025. Isu dengan perisian menyebabkan speaker pintar merangkap hab kawalan peranti berhubung (IoT) ini telah ditangguh beberapa kali. Sebelum ini Kuo meramalkan ia akan dilancarkan tahun ini dan awal 2025.
Apple HomePod ini dipercayai akan hadir dengan skrin sebesar 6-7 inci dengan sokongan Face ID untuk pengecaman wajah pengguna. Muncul juga laporan ia akan disambung kepada tangan robotik yang boleh mengekori pergerakan pengguna serta tapa yang serupa dengan iMac G4 yang ikonik. Ia akan menjadi hab kepada produk lain seperti kamera pintar yang turut akan dilancarkan oleh bagi memenuhi keperluan peranti berhubung keluaran Apple.
Sistem Apple Intelligence turut akan diberikan sementara cip A18 akan menjadi pemproses pilihan. Terdapat beberapa produk skrin pintar dilancarkan oleh Google, Meta dan Amazon setakat ini tetapi jualannya tidak meluas. Adakah Apple akan dapat memulakan semula minat orang ramai untuk membeli skrin pintar di rumah?